Make your own free website on Tripod.com
Google

 

BAB PERTAMA

PENDAHULUAN

 

1.1  Latar Belakang Masalah Kajian

 

Dunia sedang menuju ke alaf baru iaitu abad yang ke-21 yang pastinya amat mencabar. Abad 21 yang akan datang menyaksikan pelbagai perkembangan baru yang rencam dan menakjubkan dari pelbagai segi seperti aspek sains dan teknologi, perubahan ekonomi, geopolitik dan juga sosial. Perkembangan pesat teknologi maklumat mutakhir ini mendekatkan sesebuah negara dengan sesebuah negara yang lain yang menjadikan dunia tanpa sempadan atau era globalisasi.

 

Era globalisasi adalah amat mencabar dan  menuntut kepada ketahanan untuk menghadapinya. Negara-negara kecil seperti Malaysia harus bersiap sedia untuk menghadapi serta menangani cabaran-cabaran alaf baru ini jika ingin bersaing dengan negara maju yang lain.[1]

 

Antara cabaran yang harus ditangani ialah cabaran persaingan ekonomi serantau. Malaysia sudah tentunya tidak dapat lari daripada persaingan ekonomi serantau kerana adalah satu kemestian arus dunia menuntut semua negara untuk berintergrasi dalam sistem ekonomi global. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun, Malaysia terdedah kepada cabaran-cabaran era globalisasi ini  

 

Tanpa persediaan yang rapi negara-negara yang sedang membangun termasuk Malaysia terpaksa mengikut arus ini. Menjelangnya abad yang ke-21 Asia telah ditimpa krisis kewangan yang dasyat. Malaysia turut menerima padah daripada penyertaannya dalam era globalisasi ekonomi serantau selepas Thailand.[2]

 

Pelbagai andaian dan telahan dibuat oleh banyak pihak berhubung dengan Krisis Kewangan Malaysia yang dirungkai kepada pelbagai perspektif dan dimensi yang berlainan. Tidak kurang pula yang memberikan idea-idea yang bernas serta kritikan-kritikan yang membina. Walau apa pun krisis ini hendaklah di ambil pengiktibaran oleh semua.

 

Justeru, penulis merasa terpanggil untuk membuat kajian berhubung dengan Krisis Kewangan Malaysia dengan skop yang terhad dengan mengaitkannya kepada pasaran tukaran asing serta penyelesaian menurut perpektif Islam di dalam latihan ilmiah yang diberi tajuk Pasaran Tukaran Asing: Satu Analisis Terhadap Krisis Kewangan Malaysia Dan Penyelesaian Mengikut Islam.      

 

Semoga latihan ilmiah ini mampu untuk memberikan manfaat kepada semua pihak terutamanya berkenaan isu ini.

 

1.2  Tujuan Dan Objektif Kajian

 

1.2.1        Tujuan Kajian

Kajian ini dilakukan secara umumnya adalah bertujuan untuk membuktikan bahawa Krisis Kewangan Malaysia yang melanda adalah kerana kegagalan pihak pentadbir untuk mempraktis Sistem Kewangan Islam sepenuhnya di negara kita. Krisis kewangan tidak harus di nilai dari aspek material semata-mata. Ianya harus dinilai dari perpektif Islam yang mencakupi segenap aspek. Di samping itu kajian ini dibuat untuk memenuhi syarat bagi Sarjana Muda Syariah Dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

 

1.2.2        Tujuan Kajian

1.      Untuk mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan pasaran tukaran asing dalam sistem kewangan.

2.      Untuk mengenal pasti bentuk-bentuk sistem tukaran asing serta kebaikan dan keburukannya.

3.      Untuk mengkaji apakah faktor-faktor terjadinya krisis kewangan di Malaysia.

4.      Untuk mengenal pasti apakah implikasi akibat daripada krisis ini kepada negara dan masyarakat.

5.      Untuk mendalami hubungan pasaran tukaran asing dengan krisis kewangan Malaysia.

6.      Untuk menggariskan beberapa pandangan Islam terhadap isu ini dan penyelesaiannya menurut Islam.

 

1.3  Bidang Dan Skop Kajian

 

Di dalam kajian ini penulis akan cuba mengetengahkan perbincangan berhubung dengan Krisis Kewangan Malaysia dan hubungannya dengan Pasaran Tukaran Asing. Penulis akan mengutarakan bahawa sistem pertukaran matawang dunia yang diamalkan hari ini merupakan faktor terpenting krisis kewangan di Malaysia. Walaupun ramai pihak yang mendakwa ianya berpunca daripada spekulasi,[3] krisis kewangan Malaysia berkait rapat dengan pasaran tukaran asing yang diamalkan.

 

Justeru, kajian ini secara keseluruhannya akan tertumpu kepada krisis kewangan Malaysia dengan melihat kepada faktor-faktor terjadinya krisis, kesannya ke atas negara, dan penyelesaian menurut perspektif Islam. Penulis akan membandingkan dengan sistem pasaran tukaran asing yang diamalkan oleh dunia hari ini membawa kepada krisis kewangan kepada negara kita.

 

1.4  Kepentingan Kajian

 

Sebenarnya kajian ini dilakukan di atas minat penulis sendiri untuk mendalami isu-isu yang berkaitan dengan ekonomi dan kewangan semasa. Oleh itu Krisis  Kewangan Malaysia dirasakan amat sesuai dijadikan bahan kajian kerana ianya akan memberi manfaat kepada penulis sendiri dari segi ilmu pengetahuan dan pengalaman.  Adalah jelas bahawa persoalan ekonomi merupakan tunggak pembangunan negara dan[4] ianya harus diteliti dan difahami supaya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat terutamanya masalah ekonomi seperti krisis kewangan yang menimpa Malaysia kini.

 

Disamping itu, diharapkan usaha yang sekelumit ini mampu untuk memberi penjelasan kepada pembaca berhubung dengan permasalahan ekonomi yang berlaku, punca, kesan dan penyelesaian menurut perpektif Islam. Ini penting memandangkan bahawa masyarakat sekarang mulai alpa dan lalai terhadap tanggungjawab mereka terhadap agama, bangsa dan negara. Masyarakat sudah lupa bahawa masalah ekonomi negara adalah tanggungjawab bersama dan ianya harus diambil tindakan segera dan ditangani menurut acuan yang disediakan oleh Islam.  

 

 

 

1.5  Metodologi Penyelidikan

 

Beberapa kaedah yang telah digunakan penulis dalam usaha penghasilan latihan ilmiah ini. Pada peringkat awal penulis menjalankan pemerhatian secara menyeluruh terhadap krisis kewangan yang berlaku melalui media massa iaitu berita televisyen, akhbar, artikel, kertas kerja, internet dan sebagainya. Maklumat-maklumat awal juga diperolehi daripada pensyarah dan hasil perbincangan dengan rakan-rakan sebelum merasakan tajuk Pasaran Tukaran Asing: Satu Analisis Terhadap Krisis Kewangan Malaysia adalah yang terbaik untuk dijadikan bahan kajian.

 

Sebahagian besar kaedah pengumpulan data yang digunakan dalam kajian ini ialah metod dokumentasi. Penulis membuat penyelidikan terhadap buku-buku tertentu buku bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab, artikel-artikel daripada majalah, laporan, kertas kerja, dan juga mendapatkan maklumat daripada internet. Antara perpustakaan yang menjadi sumber maklumat adalah seperti berikut:

 

i.                     Perpustakaan Utama, Universiti Malaya.

ii.                   Perpustakaan Awam Pusat Islam, Jabatan Perdana Menteri.

iii.                  Perpustakaan Utama Universiti Islam Antarabangsa, Petaling Jaya.

iv.                 Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur.

v.                   Perpustakaan Peringatan Zaaba, Universiti Malaya.

 

Penulis juga akan menggunakan metod temuramah jika dirasakan perlu. Sasaran responden tertumpu kepada pakar dalam bidang ekonomi dan kewangan dan juga ulama’.

 

Kemudian penulis akan menggunkan metod penganalisaan data dan maklumat. Metod ini penting dalam kajian ini kerana melalui metod inilah penulis membuat kesimpulan berdasarkan paparan data dan maklumat yang diperolehi.

 

1.6  Sistematika Penulisan

 

Bab Pertama pertama kajian ini merupakan bab pendahuluan yang merupakan pengenalan kepada kajian ini. Ia mengandungi latar belakang masalah kajian sebenar penulisan ini dilakukan serta tujuan dan objektif kajian. Bab ini juga akan menerangkan tentang bidang dan skop kajian, kepentingan kajian, dan kemudiannya akan menjelaskan tentang metodologi kajian dan sistemematika dan penulisan ini.

 

Bab Kedua pula ialah Pasaran Tukaran Asing. Bab ini menyentuh tentang pengenalan pasaran tukaran asing secara umum. Antara yang terkandung dalam bab ini ialah definisi pasaran tukaran asing, sejarahnya iaitu daripada sistem piawaian emas, Bretton Wood dan sistem pertukaran tetap. Bab ini juga akan menyentuh tentang kadar pertukaran mata wang, perubahan kadar pertukaran, faktor perubahan kadar tukaran dan jenis urusniaga dalam pasaran tukaran asing. Kemudiannya bab ini akan melihat pasaran tukaran asing di Malaysia.

 

Dalam Bab Ketiga pula bertajuk Krisis Kewangan Malaysia 1997 yang akan menekankan tentang krisis kewangan yang berlaku di Malaysia. Aspek yang diketengahkan dalam bab ini ialah punca krisis yang terbahagi kepada faktor dalaman, luaran dan fakto-faktor lain. Bab ini juga akan mengemukakan isu-isu yang berbangkit daripada krisis ini.

 

Bab Keempat pula merupakan analisa terhadap Bab Kedua dan Bab Ketiga yang diberi tajuk Analisis Pertukaran Asing Terhadap Krisis Kewangan Dan Penyelesaiannya. Bab ini akan menyorot isu berkait dengan kejatuhan ringgit iaitu kronologi dan kesannya. Ia juga akan mengkaji langkah kerajaan dalam menstabilkan ringgit  

 


 

Nota Hujung


 

[1] Wan Liz Wan Omar (1996) Pengurusan Islam Abad Ke-21: Revolusi Pengurusan Untuk Keunggulan Sektor Awam Dan Korporat Utusan Publication & Distributor Sdn Bhd h. 163.

 

[2] Prema-chandra Athukorala Swimming Against The Tide: Crisis Management in Malaysia ASEAN Economic Bulletin Vol 15, No 3.

 

[3] Kertas Putih Mengenai Status Ekonomi Malaysia............

 

[4] Norihan Jaafar (1999) Kesan Kejatuhan Mata Wang: Penyelesaian Menurut Perspektif Islam. Jabatan Syariah Dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya h. 6.