Make your own free website on Tripod.com

 

Google

KEMISKINAN BANDAR: PENSWASTAAN KAWASAN SETINGGAN DAN PEMINGGIRAN SOSIAL

Oleh : Khairol Azli Mohamad

 

A.      PENDAHULUAN

 

    Kertas kerja ini akan mengupas isu kemiskinan dengan menumpukan kepada kemiskinan bandar dengan isu penswastaan kawasan setinggan dan peminggiran sosial yang yang dipetik daripada tajuk kertas kerja 4 dan 8 iaitu ‘Peminggiran Sosial Dan Kemiskinan Melayu Bandar’ dan ‘Penswastaan Kawasan Setinggan: Halangan Dan Kejayaan’.

 

    Sebenarnya isu kemiskinan merupakan satu topik yang sering kali menjadi topik perbualan dan perbincangan di mana-mana jua, di warong-warong kopi mahupun di seminar-seminar yang dianjurkan oleh badan kerajaan juga swasta. Ianya bukan sahaja melanda negara-negara miskin seperti Bangladesh, India dan Nepal malah kemiskinan juga menyerang negara-negara maju di Amerika Syarikat, England dan Jepun. Walaupun berbagai usaha yang dilakukan oleh banyak pihak untuk membasminya namun ianya tetap berlaku.

Dalam isu kemiskinan ini, banyak juga kajian berhubung dengan kemiskinan yang dilakukan dan pelbagai teori pemikiran yang dikemukakan menggunakan pendekatan yang berbeza dan ada antara mereka yang lebih menekankan dari segi emosional dan perasaan yang dilandasi oleh unsur moral dan kemanusiaan.[1] Ada juga yang melihanya dalam aspek yang lain kerana kemiskinan sebenarnya merupakan satu isu yang subjektif untuk diperbincangkan dan boleh dilihat dari pelbagai aspek. Kemiskinan sering dikaitkan dengan faktor ekonomi, pertumbuhan dan sistem agihan yang dijalankan oleh kerajaan berdasarkan sistem-sistem ekonomi kapitalis, sosialis atau campuran. Ini kerana sistem agihan dan pertumbuhan akan memberi kesan kepada kemiskinan sesebuah negara. Selain itu, kemiskinan juga dikaitkan dengan masalah atau gejala sosial yang berlaku di sesebuah tempat dan sebagainya kerana kemiskinan dikatakan sebagai salah satu faktor kepada gejala sosial yang berlaku.

 

    Dari segi ukuran kemiskinan, ianya adalah berbeza mengikut tempat, keadaan dan masa. Di Amerika contohya pendapatan di bawah RM1000 adalah sudah dianggap miskin berbeza dengan negara kita. Di Malaysia beberapa pengkaji seperti Chamsuri Siwar telah menggunakan tiga Pendekatan Garis Kemiskinan (PGK) untuk mengenal pasti kemiskinan yang berlaku di Malaysia iaitu PGK Nasional RM425, PGK DBKL RM500 yang berasaskan kos sara hidup di bandar dan PGK RM700 sebagai patokan kelayakan bagi permohonan rumah kos rendah[2]. Golongan yang pendapatan seperti inilah akan diklasifikasikan sebagai golongan miskin jika pendekatan ini digunakan.

Ramai pakar sains sosial yang berpendapat bahawa punca utama kemiskinan adalah akibat sistem ekonomi yang berlaku dan diamalkan namun sebenarnya ianya bukannya bersifat mutlak kerana banyak faktor lain lagi yang menyumbang ke arah terjadinya masalah ini. Pendapat berasaskan bahawa tujuan utama di sebalik pertumbuhan ekonomi yang berkembang di negara barat pada dekad selepas kemelesetan ekonomi yang teruk pada tahun 1930-an akibat kemusnahan yang dasyat disebabkan Perang Dunia ke-II adalah untuk mengembangkan strategi bagi memaksimumkan kadar pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (KNK). Teori yang dibuat ialah semakin tinggi kadar pertumbuhan yang dicapai melalui penggunaan sepenuhnya sumber sedia ada dengan sendirinya akan menangani isu pengagihan seperti kemiskinan dan ketaksamaan. Bahkan isu pengagihan sebenarnya tidak dapat lari dari isu pertumbuhan dan pemaksimuman pengeluaran dianggap satu-satunya petunjuk pertumbuhan yang dapat memenuhi keperluan manusia sama ada fizikal atau material.[3]

Teori ini sebenarnya dipraktikkan dinegara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis dan sosialis yang akhirnya membawa pergolakan sosial, politik, dan ekonomi yang timbul akibat kemiskinan yang teruk, keadaan seba kekurangan yang melampau dan perasaan tidak puas hati. Ini disebabkan sistem ekonomi tersebut hanya menekankan terhadap kemajuan fizikal dan material sahaja sehingga mengabaikan faktor kemanusiaan, keagamaan dan moral. Ini melahirkan gejala kemiskinan yang serius dikebanyakan negara di dunia termasuklah di negara-negara maju yang rata-rata kedapatan rakyat mereka yang tidak mempunyai rumah kediaman serta penjagaan sosial yang baik.

   

    Namun begitu, bukan sahaja faktor ekonomi sahaja yang menjadi penyebab kepada kemiskinan, malah banyak lagi faktor lain seperti faktor peperangan seperti di Kosovo, faktor bencana alam seperti di Bangladesh, faktor politik seperti di Brazil, dan sebagainya yang menjadi punca kemiskinan. Ini kerana pada asasnya kemiskinan wujud hasil daripada interaksi atau hubungan yang membabitkan semua aspek yang berkaitan dengan manusia dan kehidupannya. Dalam analisis sosio-ekonomi, masalah kemiskinan sering dikaitkan dengan aspek sosio-budaya kerana manusia hidup dalam suatu lingkungan kebudayaan yang membangun tingkah laku masyarakatnya.[4]

Sebagai contoh peratusan penduduk di bawah garisan kemiskinan di negara miskin dan membangun termasuklah di Indonesia (1972 – 88) sebanyak 58 %, Singapura (1972-82) sebanyak 31 %, Thai (1962 – 86) sebanyak 65 %, dan India (1972 – 83) sebanyak 71%.[5]

Di Malaysia pula peratus penduduk di bawah paras kemiskinan ialah 37 peratus dari tahun 1973 sehingga 1987 dan sehingga bulan April tahun 1994 sejumlah 105 844 keluarga termiskin telah didaftarkan di seluruh negara sebagai penerima bantuan daripada agensi kerajaan. Seramai 72 843 keluarga di Semenanjung Malaysia dan selebihnya di Sabah dan Sarawak. Lima negeri kemiskinan tertinggi ialah Kelantan (23 567), Sarawak (16 795), Sabah (16 404), Kedah (13480), dan Terengganu (10, 088).

Pada tahun 1995, kemiskinan di Malaysia terus berkurangan kepada 8.9 peratus dan 6.1 peratus pada tahun 1997 selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat.[6] Walau bagaimanapun pada tahun 1998, kadar kemiskinan meningkat sedikit berbanding dengan tahun 1997[7] berikutan keadaan ekonomi yang jatuh pada bulan Julai tahun yang sama.[8] Negara juga dijangka mencatatkan kadar kemiskinan sebanyak 5.5 peratus pada tahun 2000 nanti.[9] Di wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan kadar kemiskinan 0.5 peratus pada 1995 dan 0.1 peratus pada 1997.

 

B.     KONSEP-KONSEP UTAMA

    Di dalam kajian berhubung dengan kemiskinan bandar beberapa konsep utama dapat di utarakan di sini yang boleh membantu memperjelaskan tentang konsep kemiskinan bandar itu sendiri. Antaranya ialah:

 

Konsep Kemiskinan

    Pentakrifan kemiskinan tidak dapat dinyatakan secara tepat dan mutlak kerana ia merupakan satu istilah yang subjektif. Namun begitu kemiskinan biasanya dikaitkan dengan kekurangan pendapatan, kesusahan dan ketidakmampuan individu dan isi rumah untuk memenuhi keperluan harian.

 

    Secara umumnya kemiskinan yang ditakrifkan oleh Charles Booth (disebut dalam Holman, 1978:3) sebagai seseorang yang hidup dalam keadaan yang susah untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup yang mencukupi. Definisi ini menjelaskan hubungan antara kemiskinan dan ketidakmampuan dalam memenuhi keperluan yang minimum bagi mengekalkan kecekapan fizikal atau bagi memenuhi keperluan asas.

 

    Ahli-ahli ekonomi pula menggunakan pendapatan sebagai asas ukuran bagi garis kemiskinan. Mereka menumpukan kepada garis pendapatan minimun yang diperlukan oleh isi rumah itu bukan sahaja untuk memenuhi zat tubuh badan tetapi juga untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup yang lain. Jika seseorang berada di bawah garis tertentu yang ditetapkan, maka ia dianggap miskin kerana garis pendapatan itu telah mengambil kira jumlah yang diperlukan untuk mendapatkan keperluan asas di peringkat secukup hidup. Garis ini adalah membezakan mereka dengan golongan lain.  Namun jumlah ini adalah agak sukar untuk dijadikan ukuran kerana taraf hidup sesuatu kawasan adalah berbeza. Contohnya di Malaysia, anggaran kemiskinan pada tahun 1997 adalah berdasarkan kepada pendapatan garis kemiskinan berikut: iaitu RM460 sebulan bagi saiz isi rumah 4.6 di Semenanjung, RM 633 sebulan bagi isi rumah 4.9 di Sabah dan RM 543 sebulan bagi saiz isi rumah 4.8 di Sarawak[10]

   

    Ahli-ahli sosiologi pula tidak meletakkan pendapatan semata-mata sebagai asas ukuran mereka, tetapi juga pada faktor-faktor lain seperti agihan pendapatan dan peluang sosial. Mereka lebih menumpukan perhatian kepada dalam penghuraian sebab dan akibat kemiskinan yang dialami oleh sesuatu golongan. Contohnya aspek ketidakseimbangan sosial sebagai puncak kepada kepincangan ekonomi. Ketidaksamaan ini akan menjadi satu faktor kepada kepincangan sosial dalam masyarakat (Gunnan Myrdal, 1970). Sumbangan paling penting ahli sosiologi  ialah bila mereka menentukan kemiskinan berdasarkan kepada kedudukan seseorang dalam masyarakat. Hal ini bermakna golongan miskin ialah yang berada di peringkat paling bawah dalam struktur stratifikasi masyarakat (lower less person). Lewis (Moyniham, 1969:182) menjelaskan bahawa golongan kelas bawahan ini mempunyai sifat dan ciri-ciri budaya tersendiri yang dikenali sebagai “culture of poverty”. Penjelasan ini memberikan gambaran tentang golongan miskin dan menunjukkan bahawa struktur stratifikasi masyarakat yang berbeza memainkan peranan penting kepada petunjuk kemiskinan dan ketaksamaan sosial.

Dr. Syed Hussin Ali (1964) pula berkata, golongan miskin adalah mereka yang mempunyai kelas, status sosial dan kuasa yang paling rendah dalam masyarakat. Golongan tersebut dikatakan miskin kerana pendapatan daripada kerja mereka tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan asas dan kemudahan sosial yang dimiliki sekurang-kurangnya pada kadar yang paling minimun. Kesimpulannya, menurut beliau, terdapat tiga faktor yang dapat dijadikan ukuran dan perbezaan ekonomi antara golongan miskin dan masyarakat lain iaitu pendapatan, pemilikan dan kerjaya dan seterusnya struktur stratifikasi masyarakat[11].

 

Konsep Kemiskinan Mutlak

 

    Konsep kemiskinan mutlak merupakan satu konsep yang menggunakan satu ukuran yang menggunakan jumlah pendapatan isi rumah sebagai kayu ukur garis kemiskinan sesebuah masyarakat. Sebagai contoh di Malaysia adalah seperti yang telah dinyatakan dalam petunjuk garis kemiskinan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan bagi tahun 1997 yang terdapat dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ketujuh. Kemiskinan mutlak adalah bersifat mutlak dengan diwakili oleh jumlah pendapat isi rumah yang secara jelas dapat menggambarkan kuasa beli yang ada pada keluarga terlibat sekaligus memberi kesan kepada kepenggunaannya. Pendapatan yang kurang akan mengakibatkan kuasa beli dan kepenggunaan menurun seterusnya akan menjejaskan keselesaan dalam kehidupan seharian. 

   

    Namun begitu, petunjuk ini adalah tidak tetap dan sering berubah kerana ia adalah berdasarkan kepada nilai mata wang dan taraf hidup semasa bagi penduduk dalam kawasan tersebut yang nyata berbeza mengikut masa dan tempat.

 

Konsep Kemiskinan Relatif

 

        Konsep kemiskinan relatif pula ialah konsep kemiskinan yang dilakukan dengan membandingkan purata pendapatan dan bahagian pendapatan daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara berbagai-bagai kumpulan penduduk sama ada mengikut purata pendapatan, etnik, kawasan kediaman dan sebagainya. Melalui cara ini mereka yang dianggap miskin ialah golongan yang menerima pendapatan paling rendah dari segi agihan pendapatan negara. Mengikut Bank Dunia, mereka berkisar pada 40 peratus penduduk yang termiskin dalam sesebuah masyarakat. Kebajikan yang diterima oleh kumpulan ini pada teorinya juga adalah rendah jika dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan lain[12].

 

Konsep Kemiskinan Psikologi-sosial

        Konsep kemiskinan psikologi-sosial juga dapat digunakan untuk mengetahui ukuran kemiskinan. Pendekatan ini dikenali juga sebagai ‘teori psikologikal’ digelar oleh Frank atau ‘psikodinamik’ oleh Havens. Teori ini memberikan tumpuan utama kepada aspek kehidupan dan keperibadian individu itu sendiri. Ianya adalah meliputi ciri-ciri sosial, budaya dan psikologi individu yang dianggap penting serta boleh menggalakkan modenisasi dan pembangunan ekonomi masyarakat tersebut. Dengan kata lain, peranan ‘character dan personality’ individu sebagai faktor yang akan membawa kepada perubahan sosial dan pembangunan dalam masyarakat. Tokoh-tokoh dalam pendekatan ini menekankan kepada dua faktor utama iaitu pertama, faktor psikologi, iaitu yang berkisar mengenai mentaliti dan budaya masyarakat setempat. Sama ada mudah mengalah, kurang motivasi, latihan dan sebagainya. Dan yang kedua ialah faktor kebudayaan tradisional yang menjadi tradisi dan budaya masyarakat setempat. Contohnya sikap konservatif yang tak mahu menerima perubahan dalam sistem sosial, ekonomi dan politik mereka.

 

C.     ISU-ISU SOSIAL

 

Isu Kemiskinan Bandar

       

        Tahun 1950-an dan 1960-an, Malaysia merupakan sebuah negara yang cepat membangun sehinggakan penekanan terhadap aspek kemiskinan terabai. Ini mengakibatkan berlakunya peristiwa berdarah pada Mei 1969 yang berlaku antara sebabnya ialah akibat jurang perbezaan kemiskinan yang begitu ketara antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera. Selepas itu kerajaan telah menggubal dasar baru agar jurang kemiskinan dirapatkan iaitu Dasar Ekonomi Baru pada 1970. Hasilnya, ramai usahawan bumiputera dilahirkan untuk mengimbangi usahawan dari kaum lain.

       

        Namun begitu masih ramai lagi yang berada pada tahap kemiskinan. Lahirnya  istilah kemiskinan bandar yang kebanyakan mereka adalah penghijrah daripada luar bandar terutamanya di Kuala Lumpur. Sejak dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada tahun 1970, ramai penduduk luar bandar telah berhijrah ke bandar-bandar besar yang mempunyai peluang ekonomi yang lebih cerah. Mereka berhijrah ke bandar semata-mata ingin mendapatkan pekerjaan yang lebih bagus berbanding di luar bandar. Ramai daripada mereka berjaya merebut peluang yang ada di bandar dan tidak kurang juga yang kurang berjaya. Maka lahirlah istilah kemiskinan bandar yang mana peratusan besar mereka adalah golongan penghijrah tadi.

       

        Antara faktor kemiskinan bandar menurut pendapat ahli sosiologi, golongan ini ialah pertamanya mereka tidak sanggup atau tidak berupaya merebut segala peluang ekonomi oleh kerajaan, kedua, tidak berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Program Rakyat Termiskin, ketiga, semata-mata berserah kepada nasib dan takdir dan yang keempat ialah institusi keluarga yang tidak stabil.[13]

Isu kemiskinan bandar juga sering dihubungkan dengan persoalan-persoalan produktiviti ekonomi yang rendah, pendapatan isirumah yang kurang, kesukaran untuk mendapatkan kesampaian kepada kemudahan-kemudahan dan peluang-peluang ekonomi.[14] Walau apa pendapat pakar sosiologi sekalipun, yang nyata isu kemiskinan bersifat kompleks dan mempunyai pelbagai dimensi yang berbeza dan banyak faktor yang berinteraksi secara dinamik yang menyumbang ke arahnya.

 

        Walaupun kerajaan telah melakukan berbagai-bagai usaha untuk membasmi kemiskinan khususnya kemiskinan bandar seperti Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), namun isu kemiskinan bandar masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya dan dijangka akan menjadi lebih parah dengan pesatnya proses perbandaran dan pertambahan penduduk bandar. Penduduk bandar mencapai 53 %  daripada jumlah penduduk pada tahun 1993 dan pada tahun 2000 dijangka akan meningkat melebihi 60 % akibat proses migrasi desa dan antarabangsa.[15] Ini akan menambahkan lagi masalah kemiskinan bandar.

Pertambahan penduduk di bandar sebenarnya memerlukan kepada kepada kemudahan dan perkhidmatan bandar seperti kemudahan perumahan yang meliputi kemudahan pembentungan, pembuangan sampah, rekreasi, persekolahan, kesihatan, bekalan air, letrik dan sebagainya untuk hidup selesa. Kekurangan rumah kos rendah serta harga rumah yang melambung menyebabkan ramai golongan penghijrah mendirikan kawasan setinggan di tanah kerajaan. Ini akan merosakan persekitaran bandar dan boleh menjejaskan imej negara kita.

 

Isu Penswastaan Kawasan Setinggan

 

        Golongan setinggan telah pun dikenalpasti sebagai salah satu golongan miskin bandar. Dalam fasa perlaksanaan Dasar Ekomomi Baru (DEB) yang menggalakkan  penghijrah golongan bumiputera ke bandar dan kawasan industri melalui strategi penyusunan semula masyarakat. Walau pelbagai usaha yang di buat untuk menyusun kembali petempatan setinggan yang kebanyakan didiami oleh bumiputera, status mereka sebagai golongan miskin bandar akan kekal untuk beberapa lama yang akan datang.

Menyedari masalah ini, pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan perumahan golongan miskin bandar. Kerajaan telah menubuhkan Tabung Dana Rumah Kos Rendah yang bernilai RM 1.1 billion pada tahun 1994. Dan pada bulan Ogos dalam tahun yang sama juga diadakan Tabung Pusingan Rumah Kos Rendah yang bernilai RM 500 juta.[16]

 

        Namun begitu pelbagai masalah timbul kerana kerajaan tidak mempunyai peruntukan yang cukup untuk membiayai sepenuhnya kos perumahan tersebut demi untuk mendahului projek-projek yang bersifat mega seperti pembinaan Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya yang bernilai RM 20.1 billion[17], Lebuh Raya dan Jalan Raya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur yang bernilai RM 10.0 billion[18] dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor yang bernilai  RM 9.0 billion.[19]

Justeru, sebagai langkah alternatif, penswastaan setinggan diambil sebagai langkah alternatif  iaitu dengan menyediakan perumahan kos rendah melalui pihak swasta yang dijangka akan dapat menyelesaikan masalah ini dengan lebih efisen sekaligus dapat membantu golongan miskin bandar untuk menikmati kawasan perumahan yang selesa.

       

        Matlamat utama kerajaan mewujudkan dasar penswastaan dan demokrasi Pemilikan rumah ialah untuk selain untuk meluaskan peranan sektor swasta dalam sistem pengagihan rumah kos rendah ialah untuk memperluaskan pemilihan dan pemilikan rumah. Untuk lebih menarik minat pihak swasta memasuki projek perumahan kos rendah, tanah disediakan oleh pihak kerajaan dan ini akan menjimatkan lagi kos pembinaan untuk memenuhi objektif sosial iaitu untuk membantu golongan miskin bandar. Dan sejak Rangcangan Malaysia Keempat pihak swasta yang ingin mengadakan projek perumahan diwajibkan oleh pihak kerajaan untuk membina sekurang-kurangnya 30 peratus perumahan kos rendah daripada keseluruhan projek mereka.

Namun begitu perumahan kos rendah sering kali dikaitkan dengan bahan binaan yang bermutu rendah dan tidak berkualiti, ruang yang sempit dan kurang selesa membuatkan ramai penghuni setinggan tidak mahu berpindah.

 

Peminggiran Sosial

       

        Isu kemiskinan dengan isu peminggiran sosial pada hakikatnya amat berkait rapat antara satu sama lain namun tak banyak kajian mengenainya diketengahkan. Ini penting untuk menyelesaikan sekurang-kurang isu peminggiran sosial yang berlaku terhadap golongan miskin amnya dan golongan miskin bandar khususnya.

       

        Pada tahun awal kemerdekaan Malaysia, ekonomi negara begitu pesat membangun sehingga  wujud jurang perbezaan yang ketara antara kaum di Malaysia. Keadaan sosio-ekonomi kaum masing-masing ditetapkan terhad di kawasan tertentu sahaja dengan aktiviti ekonomi tertentu iaitu kaum Cina di bandar, Melayu di kampung-kampung, dan India di estet-estet. Ini mengakibatkan jurang perbezaan yang ketara antara kaum sehinggalah tercetusnya peristiwa berdarah pada Mei 1969.

 

        Ini merupakan salah satu kesan peminggiran sosial yang berlaku terhadap golongan miskin yang kebanyakannya dari golongan Bumiputera. Tidak dinafikan bahawa Tragedi Berdarah Mei 1969 ini merupakan rentetan daripada sentimen yang wujud sebelum merdeka lagi, tetapi masyarakat bumiputera dirasakan dipinggirkan dalam sektor sosio-ekonomi. Mereka tidak diberi peluang untuk merebut peluang-peluang ekonomi yang ada dan peminggiran sosial terus wujud.

       

        Peminggiran sosial dikalangan keluarga Melayu termiskin ini berlaku apabila sebllangan daripada para penghijrah luar bandar yang miskin mula menetap di kawasan perbandaran. Mereka ini terus terpinggir tanpa menerima sebarang bentuk maklumat dan bentuk bantuan yang bakal diterima. Mereka bukan sahaja terpinggir dari sebarang bentuk bantuan dari mana-mana pihak bahkan turut terpinggir dalam sistem sosial dan ekonomi bandar terutamanya dalam dunia perkerjaan.[20]

 

        Peminggiran sosial bukan sahaja meliputi tentang aspek perumahan, pekerjaan atau kesihatan bahkan ianya lebih luas dalam konteks masyarakat mencakupi aspek mobiliti, dalam masyarakat komunikasi, pekhidmatan kewangan, penyertaan dalam organisai politik dan sebagainya.[21] Dalam hal ini peminggiran merujuk kepada situasi atau ketidakmampuan seseorang untuk turut serta menikmati beberapa aspek kehidupan moden yang diakui oleh masyarakat sebagai kehidupan yang mencukupi. Ketidakmampuan tersebut menyebabkan mereka terpinggir atau terketepi daripada memperolehi keperluan asas dan kemudahan sosial yang lain pada kadar yang paling minimum. Oleh itu kekurangan dan peminggiran mempunyai kaitan yang rapat dengan kemiskinan.[22]

Seorang pakar sosiologi yang bernama William dalam artikelnya yang bertajuk, Exclusion: The Hidden Face Of Poverty, menyatakan golongan yang dinafikan hak sosial oleh kerajaan akan mewujudkan satu pembagian kelompok yang berasingan dari keseluruhan penduduk.[23] Seterusnya golongan ini akan terus terpinggir daripada masyarakat daripada terus mendapat peluang-peluang ekonomi yang wujud di kawasan tersebut.  Ini berlaku dikawasan setinggan.

 

 

        Peminggiran sosial bukan sahaja wujud dalam aspek ekonomi bahkan juga wujud dalam aspek leisure dan komunikasi. Menurut Tomlinson (1986) beberapa bentuk sukan masa kini amat mahal dan tidak sesuai terhadap golongan miskin. Contoh sukan yang agak mahal dan tidak mampu dinikmati oleh golongan miskin ialah golf, tenis dan sebagainya.[24] Golf contohnya memerlukan perbelanjaan yang mahal, umpamanya kos untuk membeli set untuk untuk bermain golf sahaja sudah menelan belanja beribu ringgit yang sama sekali menafikan hak golongan miskin untuk menikmatinya.

 

 

        Dari sudut politik pula, menurut Ward (1686) yang menulis artikel Excluding the Poor, mengambil bahagian dalam secara aktif dalam organisasi politik tidak dianggap satu gaya hidup yang penting pada abad ke-20, sebaliknya ia merupakan satu unsur bagi menjayakan sistem demokrasi. Oleh itu, sesiapa yang terpinggir daripada menyertai organisasi politik secara aktif sama ada disebabkan oleh kekurangan wang, masa pengetahuan atau pengalaman akan mendapati kekurangan peluang penyertaan dalam proses yang demokratik seterusnya akan mengalami juga kekurangan yang lain seperti sukar mendapatkan pekerjaan, gaji yang rendah dan sebagainya. Ini menunjukkan peminggiran daripada menyertai kegiatan dalam dalam organisasi politik menyebabkan pula kekurangan dalam berbagai aspek kehidupan dan peluang sosio-ekonomi yang lebih baik.[25] 

 

 

        Jelaslah kepada kita bahawa konsep kekurangan, kemiskinan dan peminggiran sosial amat berkait rapat. Ini kerana dalam kemiskinan bukan sahaja kekurangan wujud dari aspek kekurang pendapatan, peluang-peluang dalam ekonomi, dan sebagainya bahkan turut mengalami peminggiran dari aspek sosial. Pemahaman yang mendalam tentang peminggiran sosial amatlah penting kerana dengannya kita dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang kemiskinan yang diperbincangkan terutamanya berhubung dengan kemiskinan bandar.

 

D. KOMENTAR DAN CADANGAN

 

        Saya berpendapat tajuk Kemiskinan Bandar: Penswastaan Kawasan Setinggan Dan Peminggiran Sosial perlulah diperbincangkan dengan lebih mendalam agar beberapa isu sosial dapat diselesaikan. Seminar akademik dan kajian kajian-kajian ilmiah patut diperbanyakkan demi untuk menyelesaikan masalah kemiskinan dan masalah sosial lain yang berkait dengan isu ini. Walaupun isu kemiskinan tidak dapat diselesaikan secara total, sekurang-kurangnya isu lain yang bersangkut paut dengannya dapat diselesaikan.

Sebagai contoh, isu kemiskinan bandar adalah berkait rapat dengan isu penswastaan setinggan dan juga isu peminggiran bandar.

 

        Dalam teori ekonomi Islam, kemiskinan sering kali dikaitkan dengan masalah sosial yang lain seperti keruntuhan moral di kalangan remaja, masalah penagihan dadah, pelacuran dan sebagainya. Walaupun kemiskinan bukanlah semata-mata faktor yang menyebabkan kewujudan masalah-masalah tadi tetapi masalah kemiskinan turut dikatakan sebagai penyumbang besar ke arah timbulnya masalah-masalah tadi. Ini lebih-lebih lagi dalam isu kemiskinan bandar, jurang perbezaan dari segi sosio-ekonomi membuatkan wujudnya tekanan yang hebat dalam jiwa mereka. Tekanan-tekanan seperti ingin mendapatkan wang dengan cepat mengakibatkan mereka mencuri, merompak, berjudi dan sebagainya. Ini membuatkan sesebuah negara akan menjadi kacau bilau, penuh dengan gejala yang kurang sihat dan keharmonian sesebuah negara turut lenyap.

 

        Kemiskinan bandar juga membuatkan tekanan kejiwaan dalam diri mereka. Tekanan terhadap masalah harian seperti kehidupan yang terus menerus yang tidak selesa, masalah kekurangan kemudahan asas di kawasan mereka menyebabkan mereka mencari saluran untuk lari daripada masalah mereka dan wujudlah gejala sosial yang lain seperti lepak, bohsia, lumba haram dan sebagainya. Ianya wujud akibat tekanan yang hebat dalam hidup mereka.

 

        Kemiskinan juga boleh mengakibatkan konflik keluarga tercetus sehingga runtuhnya institusi keluarga. Apabila institusi keluarga telah lebur maka semakin banyaklah isu-isu sosial yang timbul selepas itu. Tambahan pula dengan isu peminggiran sosial, maka makin bertambahlan masalah dan tekanan dikalangan penduduk miskin bandar sekaligus makin menjadi-jadilah masalah sosial yang lain.

 

        Selain itu, kemiskinan bandar yang kebanyakannya daripada mereka dari golongan setinggan turut memberi masalah kepada negara. Masalah setinggan ini juga merupakan satu masalah yang serius. Banyak kes-kes gejala sosial yang dicatatkan dilakukan oleh penduduk setinggan akibat tekanan dan peminggiran yang mereka hadapi. Kawasan setinggan yang ada juga boleh mencacatkan permandangan persekitaran sesebuah bandar seperti Kuala Lumpur. Ini boleh menjejaskan negara kita yang sedang menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020.

 

        Sesungguhnya kemiskinan merupakan satu masalah sosial yang patut ditangani oleh semua pihak. Ini kerana ia merupakan tanggungjawab sosial yang membebani semua pihak untuk diselesaikan. Kemiskinan merupakan satu masalah yang serius dan ia berkait rapat dengan masalah-masalah yang lain seperti yang disebutkan sebahagiannya di atas.

 

        Namun saya lebih berpendapat bahawa isu kemiskinan bandar lebih merupakan tanggungjawab sosial kerajaan. Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah kemiskinan bandar haruslah dipuji kerana peratusan kemiskinan berjaya dikurangkan dari awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) hingga sekarang. Langkah tersebut temasuklah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT), penswastaan perumahan setinggan, dan juga mewujudkan beberapa intitusi seperti Amanah Saham Bumiputera, Tabung Amanah IKHTIAR dan sebagainya.

 

        Dalam isu penswastaan perumahan setinggan contohnya, langkah yang tegas perlu diambil oleh kerajaan kerana isu ini merupakan isu terpenting dalam kes kemiskinan bandar. Rata-rata masyarakat setinggan masih belum menikmati perumahan yang selesa akibat kos membeli rumah yang terlampau tinggi, kekurangan rumah murah, dan beberapa masalah yang lain. Langkah penswastaan kawasan setinggan merupakan langkah yang bijak dengan menetapkan bahawa pemaju perumahan dimestikan membina 30% perumahan kos rendah memandangkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan yang mencikupi untuk membina rumah kos rendah. Namun ini tidak dipatuhi sepenuhnya oleh pemaju kerana risiko kerugian dan tidak mendapat untung yang lebih.  Ini menimbulkan masalah kepada pemaju yang mahukan keuntungan yang maksimum. Maka usaha ini tidak berjaya sepenuhnya kerana masih wujud perumahan setinggan. Oleh itu, kerajaan sepatutnya mengambil alih sepenuhnya tanggungjawab ini kerana ia adalah tanggungjawab sosial kerajaan. Kalau dilihat sekarang kerajaan lebih mendahulukan projek-projek mega yang menelan belanja berbillion ringgit seperti Pusat Pentadbiran Persekutuan Putrajaya (RM20.1 billion), Pusat Hidroelektrik Bakun, Sarawak (RM15.0 billion), Logi Kuasa Bebas (RM12.0 billion), Rangkaian Transmisi Tenaga Nasional (RM11.0 billion) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (RM20.1 billion). Kalau dilihat projek mewah ini adalah bersifat jangka masa panjang dan ianya bukan untuk dinikmati oleh semua orang seperti pembinaan Pusat Hidroelektrik Bakun di  Sarawak contohnya, hanya 30% bekalan kuasa dibekalkan kepada tempatan dan 70% lagi untuk tujuan eksport. Ianya penting untuk jangka masa panjang bukan sekarang. Masalah setinggan ialah masalah rakyat dan ia berkait rapat dengan masalah pembangunan fizikal dan pembangunan insan yang mana ianya patut diseimbangkan keduanya terutamanya dalam era keruntuhan sosial dan moral sekarang.

 

        Ini jelas menunjukkan kerajaan tidak berjaya dalam konteks penswastaan perumahan setinggan dan kerajaan harus lebih bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah perumahan swasta.

 

        Selain itu dasar-dasar lain perlu digubal dan dilaksanakan bagi membela golongan ini agar tidak terpinggir. Dalam masalah kesihatan contohnya kerajaan harus membiayai sepenuhnya kos kesihatan golongan ini kerana ia merupakan masalah yang asas dan hasrat kerajaan untuk menswastakan institusi kesihatan tidak patut dilaksanakan kerana ia akan meningkatkan lagi kos perubatan dan ini boleh menyebabkan golongan miskin bandar akan terus terpinggir.

 

        Namun begitu, pihak lain tidak semestinya berlepas tangan dalam isu ini kerana ia adalah masalah yang global dan harus ditangani bersama. Banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pihak-pihak lain sama ada agensi swasta. Pihak swasta seharusnya bersama-sama dengan kerajaan dalam membasmi kemiskinan dalam kes penswastaan perumahan setinggan umpamanya, pihak swasta nampaknya lebih mengutamakan keuntungan semata-mata daripada kebajikan.

Negara pernah dikejutkan dengan isu perobohan perumahan setinggan awal tahun ini. Perobohan yang dilakukan secara kejam ini dilakukan tanpa mengeluarkan notis amaran terlebih dahulu dan dilakukan dengan menggunakan kekerasan samseng-samseng upahan.[26] Ini nyata sekali bertentangan dengan hak asasi manusia. Pihak swasta mahupun kerajaan tidak seharusnya mengulangi peristiwa ini walaupun demi untuk menjalankan pembangunan. Pembangunan dalam ertikata sebenarnya haruslah berteraskan pembangunan fizikal dan pembangunan rohani.

       

        Kerajaan dalam menangani isu ini haruslah membuat penyelesaian yang lebih bersepadu bukan hanya agensi-agensi atau kementerian yang berkaitan sahaja dalam isu ini. Semua kementerian yang ada dalam kerajaan harus bersama-sama bertanggungjawab. Sebagai contoh Kementerian Pembangunan Usahawan juga turut membantu menangani isu ini secara langsung. Kementerian lain seperti Kementerian Penerangan boleh turut serta secara tiddak langsung seperti memberi pemahaman kepada masyarakat tentang masalah ini bukan semata-mata menjadi alat kepada parti pemerintah.

 

D.     PENUTUP

 

        Sebagai penutup kalam, semua pihak hendaklah memandang isu kemiskinan sebagai suatu isu yang boleh dilihat dari perbagai aspek dan perspektif sama ada dari sudut perumahan setinggan dan penswastaannya, kemiskinan bandar dan sebagainya. Ini penting bagi mempelbagaikan bentuk-bentuk kajian berhubung dengan masalah kemiskinan seterusnya memudahkan kita menyelesaikan masalah ini. Kebanyakan  kajian hanya bersifat sempit dan tidak meluas dengan mengkaji dari sudut pendapatan isi rumah dan perumahan sahaja dengan mengenepikan isu-isu sosial lain yang berkaitan seperti peminggiran sosial. Kajian yang bersifat sempit ini akan menyulitkan lagi peluang untuk menyelesaikan masalah ini.

       

        Justeru, kajian yang meluas dan pelbagai semestinya diperbanyakkan demi untuk melihat negara berada dalam keadaan stabil dan harmoni dengan agihan pendapatan yang adil. Perlu dingat bahawa keharmonian negara tidak akan wujud jika hanya pembangunan fizikal, kebendaan dan material sahaja yang dijalankan dengan mengabaikan aspek keagamaan, sosial dan moral. Pembangunan yang berta sebelah ini boleh menimbulkan masalah-masalah sosial yang kronik seperti yang berlaku di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bharu. Setiap sering kali kedengaran di media-media massa yang menghebahkan berita sumbang mahram, pesta seks, dan banyak lagi yang wujud antara puncanya ialah kemiskinan yang wujud akibat pembangunan yang tidak seimbang. 

 

 

 

 


 

1 Mohd. Razali Agus dan Fashbir Noor Sidin, Pembangunan Sosial Dan Ekonomi Di Malaysia terbitan Jabatan Antrupologi Dan Sosiologi, Universiti Malaya, ms vii.

2Ibid ms 12.

3Ataul Huq Pramanik 1998, Pembangunan Dan Pengagihan Dalam Islam, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa  DanPustaka ms 3.

4Op-chit Mohd. Razali Agus dan Fashbir Noor Sidin ms viii.

5Dewan Masyarakat 1995.

6________________ Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996 –2000 terbitan Percetakan Nasional Malaysia Berhad 1997 ms 66.

7Ibid ms 65.

8Dewan Ekonomi Disember 1997.

9Op-chit ________________ms 67.

10Malaysia,1997, op.cit, hal. 67.

11Mohd Taib Hj. Dora,1991,Pembasmian Kemiskinan: Satu Penelitian Tentang Peranan Agensi Kerajaan dan Amanah Ikhtiar Malaysia. Kertas  Projek, Jabatan Antropologi dan Sosiologi. Kuala Lumpur : Universiti Malaya, hal. 25.

12Ibid , hal. 32.

[13] Dewan Masrarakat 1997

13Op-chit Mohd. Razali Agus dan Fashbir Noor Sidin ms 35.

14Op-Chit Mohd. Razali Agus dan Fashbir Noor Sidin ms 12.

15Dewan Masyrakat 1997.

16Dewan Masrakat 1994

17Ibid

18Ibid

[20] Op-Chit Mohd. Razali Agus dan Fashbir Noor Sidin ms 69.

[21] Ibid ms 70.

[22] Ibid

[23] Ibid ms 71

[24] Ibid

[25] Ibid

[26] Tamadun 1999

 

 

A.      BIBLIOGRAFI

 

1.      Mohd. Razali Agus dan Fashbir Noor Sidin, Pembangunan Sosial Dan Ekonomi Di Malaysia terbitan Jabatan Antropologi Dan Sosiologi, Universiti Malaya

2.      Ataul Huq Pramanik 1998, Pembangunan Dan Pengagihan Dalam Islam, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa  DanPustaka.

3.      ________________ Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ketujuh 1996 –2000 terbitan Percetakan Nasional Malaysia Berhad 1997 ms 66.

4.      Mohd Taib Hj. Dora,1991,Pembasmian Kemiskinan: Satu Penelitian Tentang Peranan Agensi Kerajaan dan Amanah Ikhtiar Malaysia. Kertas  Projek, Jabatan Antropologi dan Sosiologi. Kuala Lumpur : Universiti Malaya

5.      Chamsuri Siwar 1994, Ekonomi Malaysia Asas terbitan Utusan Publication Sdn Bhd.

6.      Dewan Masyarakat tahun 1995.

7.      Dewan Masyarakat tahun 1996.

8.      Dewan Masyarakat tahun 1997.

9.      Majalah Tamadun tahun 1997.

10.  Dewan Ekonomi Disember 1997.