Make your own free website on Tripod.com

 

Google

 

KRISIS KEWANGAN MALAYSIA

Bagaimana Terjadinya Krisis Kewangan Di Asia Pada Julai 1997

 

Prawacana

            Krisis kewangan yang melanda Asia bermula pada Julai 1997 merupakan satu fenomena yang telah menjejaskan aktiviti perdagangan dan hampir melumpuhkan ekonomi negara-negara terbabit. Kedatangannya di tengah-tengah pertumbuhan pesat rantau Asia khususnya Asia Timur dikatakan angkara spekulator asing, namun tidak dapat dinafikan ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada fenomena ini dan menyebabkan krisis  menjadi bertambah parah. Krisis yang bermula sebagai krisis mata wang dan kecairan telah berkembang menjadi krisis struktur seluruh ekonomi dan merebak keseluruh Asia dan menjejaskan perdagangan dunia. 

 

Pelbagai macam tanggapan dan penjelasan telah dikemukakan bagi menghuraikan sabab musabbab tercetusnya krisis tersebut. Namun tiada kesepakatan antara mereka. Ahli-ahli ekonomi mungkin memerlukan beberapa tahun lagi sebelum mencapai suatu penjelasan yang dipersetujui bersama tentang fenomena ini. Namun pada waktu itu nanti, fenomena ini mungkin sudah menjadi suatu sejarah bagi tatapan generasi baru.

 

Krisis Kewangan Di Asia

Secara khususnya krisis kewangan di Asia dapatlah dikatakan bermula pada 2 Julai 1997 iaitu sehari selepas kembalinya Hong Kong kepada pemerintahan China dengan runtuhnya nilai baht di Thailand. Fenomena ini dengan cepatnya merebak dari negara ke negara di rantau ini. Namun bibit-bibit krisis  sebenarnya sudah mula bercambah lama sebelum tarikh tersebut lagi. Ia kemudiannya merebak dengan kelajuan yang sama sekali tidak dijangka oleh sesiapapun. Malah, bahang krisis ini turut dirasai di Amerika Utara dan Eropah. 

 

            Serangan spekulatif terhadap mata wang kali ini dianggap penganalisis sebagai agak luar biasa iaitu bagaikan teori domino bermula dengan baht di Thailand, diikuti peso Filipina dan ringgit Malaysia. Tidak terkecuali rupiah Indonesia, dolar Singapura serta won Korea dan dolar Taiwan. Kegawatan ini telah membimbangkan hampir kesemua pasaran yang baru muncul yang diibaratkan sebagai pasaran yang hampir tenggelam. Malah krisis ini boleh menjadi lebih teruk dan menyebabkan kemelesetan ekonomi dunia sama seperti yang pernah berlaku dalam tahun 60-an.

 

            Presiden Amerika, Bill Clinton pernah menyifatkan krisis kewangan Asia hanya seperti ‘kerikil kecil di jalan raya’. Sebaliknya, krisis tersebut telah bertukar daripada salah tanggapan sebagai selesema Asian yang bukan hanya menggugat rantau Asia-Pasifik, bahkan mengancam untuk menyelubungi dunia.[1]

 

Senario Sebelum dan Semasa Krisis

            Sebelum meneroka lebih mendalam tentang isu krisis kewangan ini, adalah wajar terlebih dahulu kita memahami maksud krisis kewangan dan senario sekitar Asia sebelum dan sejurus selepas krisis melanda.

 

            Krisis bermaksud keadaan tidak terkawal atau tidak tenteram yang boleh secara tiba-tiba menyebabkan sesutu kejadian (perkembangan, perubahan dll), keadan yang lazimnya mendatangkan kesan buruk, keadaan yang genting, kegentingan, ketegangan dan keributan. Kewangan pula merujuk perihal wang (keadaan atau urusan wang), segala sesuatu yang dikaitkan dengan wang. Manakala frasa krisis kewangan adalah bermaksud keadaan yang membimbangkan mengenai soal-soal kewangan (seperti kekurangan wang dll).[2]

 

Dalam tempoh beberapa tahun sebelum krisis, ekonomi Asia Timur termasuk Malaysia mengalami pertumbuhan yang begitu pesat. Pertumbuhan ini telah disertai dengan kadar inflasi yang rendah, pendapatan per kapita yang meningkat dan kadar kemiskinan yang berkurangan.

 

            Malaysia misalnya, telah mencatat kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 8.5 peratus bagi tempoh 1991-1997, manakala pendapatan per kapita telah meningkat dua kali ganda dalam dolar Amerika Syarikat (USD) pada tahun 1997. Di samping itu, kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan daripada 16.5 peratus kepada 6.1 peratus dalam tempoh yang sama.[3] 

 

Di Thailand, pada penghujung tahun 1996, Kementerian Kewangan Thailand begitu positif terhadap masa depan ekonomi negaranya dengan meramalkan pertumbuhannya kekal pada purata antara tujuh hingga 7.5 peratus setahun serta mengekalkan inflasi pada kadar maksimum lima peratus sepanjang tuga tahun lagi. Mereka turut meramalkan akaun defisit semasa negara berada pada kadar antara 7.5 dan 7.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1997. Eksport juga dijangka meningkat.

 

Suasana ekonomi makro serantau yang menggalakkan telah berjaya menarik minat pelabur untuk menanam modal di rantau ini. Menurut Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), antara tahun 1990-1996, jumlah modal yang mengalir masuk ke “pasaran-pasaran baru muncul” Asia melebihi USD$ 400 billion. Dana tersebut mengalir masuk dalam bentuk pelaburan langsung (dengan membeli syarikat-syarikat atau membina kilang-kilang), pinjaman bank serta membeli saham dan bon. Zaman muncah (“keajaiban Asia”, “ekonomi naga”, “ekonomi harimau”) berlaku apabila modal asing itu ditukar menjadi mata wang tempatan dan dibelanjakan dalam pelbagai sektor. Maka pastilah tidak mungkin bahawa segala wang tersebut telah disalurkan kepada pelaburan yang bijaksana.[4]

 

Aliran masuk modal terhenti – malah berbondong-bondong merempuh keluar – apabila para si peminjam (creditors) itu membuat tafsiran bahawa dana tersebut semakin banyak yang digunakan untuk membina bangunan, kilang dan pejabat yang sebenarnya tidak diperlukan. Maka tinggallah negara-negara tersebut sebagai mangsa krisis ekonomi dan penanggung hutang luar yang amat besar jumlahnya.[5]

 

Implikasi daripada fenomena ini amat mendalam yang bukan setakat menurunkan nilai mata wang dan harga saham sesebuah negara yang telibat, bahkan membawa kepada kegawatan ekonomi secara keseluruhannya di samping memberi kesan jangkitan kepada negara-negara serantau. Penurunan nilai mata wang menular ke seluruh Asia.

 

Negara Thailand umpamanya, mengalami kejatuhan nilai mata wang baht ke paras paling rendah dalam tempoh 30 tahun, satu situasi yang menggegarkan seluruh Thailand. Sejak 2 Julai 1997, nilainya susut sehingga 25 peratus. Seterusnya ekonomi Thailand diramal sekadar meningkat 2.5 hingga 3 peratus sahaja pada 1997, iaitu kadar paling perlahan dalam tempoh tiga dekad, berbanding 6.4 peratus pada 1996.[6]

 

            Sejak bulan Julai 1997, nilai ringgit telah jatuh dengan ketaranya. Dari RM2.50 kepada satu dolar AS, ringgit turun nilai kepada RM4.16 (8 Julai 1998) kepada satu dolar AS. Sebaliknya dolar AS mengukuh sebanyak 66 peratus berbanding ringgit. Kejatuhan dalam mata wang adalah berkait rapat dengan kejatuhan di bursa saham. Indek Komposit Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) umpamanya menjunam daripada paras tertinggi 1271 pada 25 Februari 1997 kepada 262.7 mata pada 1 September 1998. Nilai pasaran ini merosot melebihi dua pertiga daripada mata tertinggi tersebut, iaitu daripada RM917 bilion kepada RM181.5 bilion pada tempoh yang sama menyebabkan kerugian melebihi RM700 bilion dalam pasaran sahamnya.

 

Insiden Krisis Kewangan Di Asia Bermula Julai 1997

Dalam menghuraikan bagaimana terjadinya krisis kewangan di rantau Asia ini, pelbagai pendapat dan teori telah dikemukakan oleh ahli-ahli ekonomi. Masing-masing mempunyai hujah tersendiri untuk menyokong pendapat mereka. Sama ada faktor itu berbentuk faktor luaran atau dalaman, ataupun faktor di luar batasan kawalan manusia, semuanya memainkan peranan yang sama penting untuk mencetuskan krisis kewangan. 

 

Faktor-faktor terjadinya krisis.

1.                  Peranan spekulator mata wang.

Pada amnya, semua orang bersetuju bahawa krisis kewangan di rantau ini adalah disebabkan mainan spekulator mata wang. Ini dibuktikan dengan pengaliran keluar kira-kira AS$115 bilion dari lima negara utama yang mengalami krisis (Korea, Thailand, Indonesia, Filipina dan Malaysia) sejak bermula krisis sehingga September 1998.[7]

 

George Soros merupakan spekulator mata wang yang dikaitkan dengan faktor ini. Perdana menteri Malaysia telah menyebut beliau sebagai antara penyangak mata wang dunia yang berniat jahat untuk memporak-perandakan ekonomi negara-negara miskin dan sedang membangun khususnya Asean.[8] Beliau dan konco-konconya yang menguasai pengurusan dana asing yang besar berpakat menyerang pasaran Asean bagi menyekat kelahiran harimau ekonomi yang bakal mengaum dipasaran antarabangsa. Serangan mereka tidak terhad di Asean sahaja. Mereka mempunyai strategi untuk menyerang Hong Kong, dan kemudiannya menyekat kemaraan China sebagai gergasi ekonomi di rantau Pasifik.[9]

 

Apa yang paling dibimbangi oleh Barat, khususnya Amerika ialah kebangkitan China sebagai gergasi ekonomi dan politik yang bakal mengubah pusat ketuanan politik dan perdagangan antarabangsa . Soros dan konco-koncomya sedar, jaringan usahawan China yang sudah lama bertapak di Asia akan menjadi anarkis pembangunan ekonomi China. Di Asean sahaja, kira-kira 50 juta rakyat keturunan China memiliki hampir AS$ 3 trilion harta dan mereka kini menjadi pelabur yang paling aktif di China. Usahawan keturunan China yang dipanggil China Seberang Laut oleh Barat kini sudah menjalin perkongsian dengan rakyat tempatan untuk menerokai pasaran antarabangsa.

 

Dengan melemahkan pasaran Asean yang diramal muncul sebagai pusat pertumbuhan penting ekonomi dunia pada abad ke-21, anarkis ekonomi Barat berharap dapat menyekat kemaraan dan penerokaan usahawan Asean ke pasaran China dan pasaran baru di Afrika, Amerika Selatan dan negara-negara Balkan. Ini adalah strategi politik yang tentunya mendapat restu daripada pemimpim politik Barat.[10] Ditambah pula dengan keadaan ekonomi di negara-negara Asia yang seolah-olah menggamit kedatangan mereka.

 

Bagaimanakah aktiviti spekulasi ini menyebabkan kejatuhan mata wang sesebuah negara ? Sebagai contoh, sekiranya nilai mata wang sesebuah negara diramalkan akan turun, para spekulator akan bertindak menjual mata wang tersebut di kedua-dua pasaran semerta dan pasaran hadapan. Apabila nilai mata wang tersebut benar-benar-turun, maka mata wang tersebut akan dibeli kembali pada kadar yang murah. Perbezaan antara jualan dengan belian adalah keuntungan yang akan diperoleh oleh spekulator. Begitu juga sekiranya sesuatu mata wang akan dinaikkan nilainya, spekulator akan membeli mata wang tersebut di pasaran semerta dan pasaran ke hadapan. Apabila nilai mata wang tersebut betul-betul meningkat, spekulator akan menjual dengan memperoleh keuntungan daripada urusniaga tersebut.[11]     

 

2.                  Krisis keyakinan dan kesan penularan.

Faktor teknikal yang juga perlu diambil kira walaupun sukar untuk dikuantitikan tetapi mempunyai kesan yang besar terhadap permintaan dan penawaran sesuatu mata wang. Faktor teknikal yang dianggap penting dan memerlukan huraian ialah keyakinan oleh pihak pedagang mata wang dan pelabur terhadap sesuatu mata wang yang diniagakan. Faktor keyakinan ini selalunya dipengaruhi oleh keadaan ekonomi dan politik sesuatu negara yang mata wangnya terlibat.

 

Sekiranya keadaan ekonomi dan politik sesebuah negara itu kurang meyakinkan, para pelabur, pedagang ataupun spekulator akan menjual mata wang negara tersebut di pasaran. Ini adalah realiti apa yang telah berlaku ke atas negara-negara di Asia baru-baru ini. Disebabkan dasar-dasar ekonomi dan politik yang tidak disenangi ini membuatkan para pelabur hilang keyakinan terhadap mata wang negara-negara tersebut. Oleh sebab itu, mereka bertindak tidak akan memegang mata wang tersebut, sebaliknya akan menjualnya. Jadi soal keyakinan terhadap faktor-faktor politik dan ekonomi boleh mempengaruhi perdagangan pasaran terutamanya kepada pedagang, pelabur dan spekulator terhadap aliran kadar pertukaran sesuatu mata wang.[12]

 

Pertumbuhan ekonomi yang pesat di negara-negara Asia Tenggara telah diikuti oleh pertumbuhan pesat kredit sektor swasta dan inflasi harga aset, termasuk di pasaran hartanah dan pasaran saham, ini meningkatkan kebimbangan bahawa kadar tukaran para pelabur ini tidak dapat dipertahankan. Beberapa petunjuk ekonomi makro ini mendedahkan bibit masalah sejak beberapa tahun sebelum krisis lagi terutama di Thailand, Indonesia dan Korea.

 

Apabila berlaku masalah di Thailand, para pelabur terutama pelabur asing melihatnya sebagai suatu risiko, lebih-lebih lagi apabila mereka melihat rantau ini sebagai satu kelompok.[13] Mereka menganggap Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina ini berada dalam satu kumpulan ekonomi dan mempunyai ciri-ciri dan struktur ekonomi yang sama. Jika sekiranya terdapat kelemahan struktur di Thailand dan Filipina umpamanya, mereka menganggap kelemahan itu juga wujud dalam ekonomi Malaysia, walaupun tanggapan itu tidak benar. Jadi berdasarkan itu, mereka menarik keluar pelaburan mereka dari negara-negara lain.[14]

 

Disebabkan pelabur asing menarik keluar modal mereka, pengaruh mereka ini menular kepada pelabur tempatan yang menyebabkan mereka turut menarik keluar modal kerana terpengaruh dan tidak mahu kerugian.

 

Faktor keyakinan ini turut dipengaruhi oleh kadar simpanan (rizab) negara-negara terbabit. Lima ekonomi yang boleh bertahan ialah yang mempunyai banyak simpanan, iaitu Jepun, Taiwan, China, Hong Kong dan Singapura. Simpanan negara-negara ini adalah yang paling besar di dunia. Tidak semestinya ada banyak perbezaan dari segi pengurusan ekonomi. Tetapi kerana negara-negara itu mempunyai banyak simpanan, maka pihak yang hendak berspekulasi akan berfikir beberapa kali sebelum bertindak. Untuk menjatuhkan baht Thailand, mereka lebih yakin kerana simpanan Thailand hanya cukup untuk membeli bagi tempoh empat bulan sahaja.  Lagipun pertumbuhan eksport dan ekonomi Jepun sudah mulai perlahan berbanding Malaysia dan Indonesia.[15]  

 

Apabila krisis bermula, putaran ganas ini sukar dibendung. Lebih banyak berita buruk yang timbul berbanding dengan berita baik. Walaupun para pedagang mata wang ini bertindak saecara negatif berikutan sesetengah berita buruk, kerosakan yang dibuat mungkin terhad kepada magnitud pahala itu sahaja. Sekiranya ketelusan itu tidak memadai, orang ramai akan bergantung kepada sumber maklumat lain seperi laporan media asing dan khabar angin. Satu masalah kecil yang timbul boleh menjadi kelam kabut apabila pasaran mendapati bahawa masalah yang timbul berkemungkinan lebih teruk daripada apa yang diberitahu. Malahan berita buruk dan statistik rasmi diterima dengan mencurigakan. Pasaran mengandaikan bahawa pihak berkuasa ataupun pihak yang berkepentingan ada “menyembunyikan sesuatu”.

 

Dalam keadaan yang begitu, pasaran akan membuat pendirian yang paling konservatif, seperti melambakkan saham-saham tempatan dan memindahkannya ke tempat yang dianggap selamat. Satu perubahan sahaja oleh sesiapa atau atas sebab apa sekalipun, terutama pengguna dan pelindung akan menyemarakkan lagi pemindahan saham dari pasaran.[16] 

 

3.                  Intergrasi dalam pasaran sejagat.

Perkembangan pesat teknologi maklumat mutakhir ini mendekatkan sesebuah negara dngan negara lain. Era globalisasi atau dikaitkan dengan dunia tanpa sempadan turut menjadi penyumbang kepada krisis ini. Ia bagaikan satu kemestian arus dunia menuntut semua negara berintegrasi dalam sistem ekonomi global. Lantas tanpa persediaan yang rapi negara-negara sedang membangun termasuk di Asia ini terpaksa mengikut arus ini.

 

Suatu pandangan yang pernah dikemukakan oleh Kumiharu Shigehara, Timbalan Ketua Setiausaha Organisasi Kerjasama Dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam kertas kerjanya yang berjudul “ Causes And Implication of The East Asian Financial Crisis”, beliau menulis bahawa penyebab yang lebih utama bagi krisis tersebut ialah sejauh mana terintegrasinya sesebuah negara itu ke dalam sistem pasaran kewangan global. Menurut beliau, ”Sifat turun naik kadar pertukaran (di Asia) sebahagian besarnya disebabkan oleh peralihan dalam aliran modal” dan “hilang kepercayaan yang bersifat self-fullfilling (apa yang diramal ialah yang terjadi) memain peranan penting dalam memperdalam dan memperluaskan krisis tersebut”.[17]

 

Hari ini pasaran mata wang global dalam sistem tersebut hampir RM 10 trilion sehari dagangannya dengan berbilion-bilion lagi menyerapi pasaran saham dan pasaran bon. Pasaran itu merupakan pasaran elektronik yang bersifat berbondong-bondong (herd). Bila gerombolan-gerombolan besar itu dengan tiba-tiba berebut-rebut lari keluar, maka negara-negara besar dan kecil yang telah mengintegrasikan diri kepada sistem global itu akan menanggung kesannya yang amat parah.

 

Sebenarnya, sejauh mana terintegrasinya atau terserapnya ke dalam pasaran global terserah kepada pilihan sendiri. Dengan tahap integrasi yang kurang, maka mungkin lebih sedikit pulalah jumlah modal dan aset yang dapat dimanfaatkan dan besar kemungkinannya kadar pertumbuhan ekonomi di rantau ini tidak semudah dan secepat itu mencapai tahap keajaibannya. Namun godaan untuk melakukan integrasi sepenuhnya itu tentulah amat kuat pula – kerana dengan itu tentulah lebih banyak “wang panas” yang dapat dimanfaatkan untuk merealisasikan pembangunan yang dirancang.[18]

 

Tetapi hakikatnya, negara-negara sedang membangun ini masih belum mempunyai sistem kewangan yang mantap untuk menerima sepenuhnya globalisasi dan liberalisasi urus niaga akaun modal (capitai account transaction).

 

Penubuhan Bangkok International Banking Facility (BIBF) atau Kemudahan Perbankan Antarabangsa Bangkok pada 1993 adalah bagi memudahkan syarikat atau bank-bank tempatan membuat pinjaman dari luar negara. Keadaan ini secara langsung memudahkan kemasukan mata wang asing ke Thailand dengan kira-kira AS$ 50 bilion mengalir ke negara tersebut antara 1993 hingga 1996. Dalam tempoh tersebut KNK Thailand tumbuh sebanyak 8.1 peratus.[19]

 

Kesan penubuhan BIBF ini menyebabkan urus niaga akaun modal sukar dikawal oleh kerajaan Thailand. BIBF, tidak seperti pasaran luar pantai yang konvensional , telah melibatkan diri dalam urus niaga “keluar-masuk”, iaitu modal yang diperoleh daripada pemodal asing dipinjamkan kepada peminjam tempatan. Sebahagian modal itu mengakibatkan berlakunya aktiviti spekulatif dalam pasaran harta, sehingga akhirnya sistem kewangan dibebani oleh hutang lapuk yang besar jumlahnya. Keadaan begini ternyata memberi ruang yang luas kepada para spekulator  dan pengurus dana yang rakus.[20]

 

Pada 1996  IMF sendiri telah memberi amaran bahawa Thailand akan menghadapi krisis, namun tiada apa yang dilakukan ketika itu untuk menghadapi sebarang musibah atau untuk mengelak risiko yang diramal bakal berlaku. Akhirnya Thailand menjadi mangsa krisis kewangan pertama di kalangan negara-negara Asia berikutan serangan spekulator terhadap mata wangnya.

     

Begitulah juga apa yang berlaku ke atas Indonesia apabila tenaga-tenaga pasaran global itu memutuskan bahawa pertumbuhan ekonomi Indonesia tidak lagi boleh dianggap sebagai mapan. Maka berlakulah pelarian keluar berbondong-bondong modal.

     

Begaimanapun suara mangsa krisis ekonomi global ini pada asasnya  berpaut pada semacam teori konspirasi – mengandaikan terdapat satu persekongkolan di kalangan orang  atau kuasa luar terhadap negara Asia dalam suatu rencana besar untuk kembali menjajah negara-negara Asia itu sebagaimana yang pernah terjadi dalam sejarah.[21]

 

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Mahathir ketika berucap di Tokyo ada menyebut bahawa krisis kewangan di Asia ini adalah merupakan satu penjajahan cara baru untuk menguasai negara melalui globalisasi ekonomi. Beliau mengemukakan suatu senario yang amat menakutkan tentang kemungkinan sebuah dunia tanpa sempadan dan tanpa peraturan yang akan menaggung kesan penaklukan mutlak golongan kapitalis dan kolonialis baru itu terhadap negara-negara membangun. [22]

 

“Negara yang berada pun boleh dijajah dengan menjadikannya negara miskin dan mengemis dalam masa yang amat singkat, tanpa seorangpun askar penjajah terbunuh dan tercedera. Apabila negara menjadi miskin, maka politiknya akan menjadi tidak stabil dan rebutan kuasa akan berlaku. Dengan itu, pemimpin akan ditukar sehingga terdapat yang sanggup mengikut kehendak kuasa dunia. Dengan perkataan lain, penjajahan sudah berlaku”.[23] Begitulah Dr. Mahathir mengemukakan teori imperialisme ekonomi kapitalis baru.

 

Sebenarnya,  tahap integrasi yang diputuskan sendiri oleh sesebuah negara untuk dilaksanakan dalam sistem ekonomi global yang baru bercirikan peranan teknologi maklumat itu adalah lebih kuat menentukan krisis tersebut. Kehebatan konsprasi dan niat jahat kuasa luar sahaja tidak memadai bagi menghuraikan tahap krisis kerana negara-negara inilah dikatakan mengundang mereka.

 

Kesimpulan yang dapat dibuat daripada pandangan ini ialah bahawa penyertaan dalam sistem global itu mestilah diambil secara suatu keseluruhan (package) – tidak boleh secara berpilih-pilih. Tidak boleh dinikmati “wang panas” yang disediakan melalui globalisasi ekonomi tanpa mengambil tanggungjawab membina institusi kewangan, undang-undang dan politik untuk memastikan pengagihan hasilnya dibuat secara adil.[24]

 

4.                  Kelemahan polisi ekonomi dalaman.

Menyalahkan orang lain semata-mata tanpa melihat kelemahan diri sendiri merupakan satu tindakan yang kurang tepat. Para pemimpin negara yang menjadi mangsa krisis lebih suka menuding jari kepada spekulator semata-mata kononnya meruntuhkan sistem ekonomi yang mereka bina selama ini. Walhal para pedagang mata wang ini merupakan golongan yang oportunis terhadap peluang-peluang pelaburan yang dapat memberi keuntungan lumayan kepada mereka. Kebetulannya, negara-negara sedang membangun di Asia ini gagal melaksanakan polisi ekonomi mereka dengan sempurna lantaran ingin menikmati pembangunan yang cepat dan berterusan. Kesempatan inilah yang telah direbut sebaiknya oleh spekulator mata wang untuk membuat untung.

 

Kelemahan polisi dalaman ini boleh kita lihat dari beberapa aspek :

1.                  Ekonomi yang meruap/ bertumbuh melebihi potensi sebenar.

Kebanyakan negara di Asia ini berada dalam kelompok negara sedang membangun seperti Thailand, Malaysia, Indonesia dan sebagainya. Jadi dalam usaha membangunkan ekonomi dan negara mereka, pelbagai pendekatan dan diamalkan bagi memantap, menyaingi dan memperkukuhkan ekonomi masing-masing.

 

Dalam beberapa tahun sebelum krisis, ekonomi Asia timur ini khususnya telah mengalami pertumbuhan yang begitu pesat. Pertumbuhan ini telah disertai dengan kadar inflasi yang rendah, pendapatan per kapita yang meningkat dan kemiskinan yang berkurangan.

 

Di Thailand umpamanya, pada penghujung tahin 1996, Kementerian kewangan Thailand begitu pasif terhadap masa depan ekonomi negaranya dengan meramalkan pertumbuhan kekal pada purata 7-7.5 peratus setahun serta mengekalkan inflasi pada kadar maksima lima peratus sepanjang tiga peratus lagi. Mereka turut meramalkan defisit akaun semasa berada pada kadar antara 7.5 hingga 7.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 1997. Eksport pula dijangka meningkat.[25] Keadaan ini melekakan kerajaan Thailand daripada membuat sebarang langkah menghadapi sebarang musibah yang tidak dijangka.

 

Begitu juga dengan Malaysia, KNDK sebenar telah mencatat pertumbuhan sebanyak 8.5 peratus bagi tempoh 1991 hingga 1997, manakala pendapatan perkapita telah meningkat dua kali ganda dalam nilai dolar AS pada 1997. Di samping itu, kadar kemiskinan berjaya dikurangkan dari 16.5% kepada 6.1% dalam tempoh yang sama.Ini ditambah pula dengan asas ekonomi yang kukuh.[26]

 

Pertumbuhan yang pesat ini tanpa disedari mengundang musibah. Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysi sejak 1987 hingga 1997 dikatakan telah melebihi potensinya iaitu melebihi kadar sumber yang dimiliki. Maksudnya, kadar pertumbuhan sebenar (real growth rate) Malaysia melebihi kadar potensi pertumbuhan (potential growth rate) berdasarkan sumber yang ada. [27] Dengan demikian sudah tentu ia akan menimbulkan tekanan kepada negara.  

 

2.                  Defisit akaun semasa dalam imbangan pembayaran.

Defisit akaun semasa dalam imbangan pembayaran juga menyumbang kepada krisis yang berlaku ini. Akaun semasa imbangan pembayaran merekodkan urus niaga barangan, perkhidmatan dan bayaran pemindahan. Sekiranya sesebuah negara mengalami defisit dalam akaun semasa pembayaran disebabkan jumlah import barangan dan perkhidmatan lebih banyak daripada jumlah eksport, nilai mata wang sesebuah negara itu akan susut. Ini disebabkan apabila sesebuah negara importnya meningkat, permintan terhadap mata wang negara pengeksport atau mata wang negara ketiga sekiranya digunakan dalam urus niaga juga akan meningkat. Kesan terhadap mata wang negara pengimport ialah penurunan nilainya. Ini disebabkan penawaran mata wang tersebut akan meningkat di pasaran dan dengan itu nilainya akan menurun. Imbangan pembayaran sesebuah negara akan mewujudkan peningkatan permintaan terhadap mata wang negara tersebut dan dengan ini akan meningkatkan nilainya.[28]  

 

Dari segi teorinya, defisit akaun semasa, terutamanya untuk jangka masa sementara waktu adalah tidak mengapa. Ia merupakan ciri-ciri bagi negara sedang membangun yang ekonominya berkembang pesat, kerana barang-barang modal dan barang perantaraan perlu diimport sebagai keperluan dalam pembangunan negara. Misalnya kapal minyak, kapal terbang, jentera berat dan mesin perlu diimport kerana tanpanya pembangunan tidak dapat dijalankan.

 

      Yang menjadi masalahnya ialah bagaimana untuk membiayai atau menutup defisit tersebut. Pada masa beberapa tahun dahulu, ia dibiayai sebahagian besarnya, kira-kira 80 peratus oleh pelabur asing melalui pelaburan secara langsung dan selebihnya melalui urus niaga modal antara kerajaan, seperti Bank Dunia, IMF dan sebagainya. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, modal jangka pendek atau pelaburan portfolio masuk lebih banyak daripada pelaburan secara langsung.[29] Ia mendedahkan kepada aliran keluar-masuk modal jangka pendek yang akan menyebabkan keadaan ekonomi tidak stabil. Defisit dalam akaun semasa berlaku apabila jumlah yang diimport lebih besar daripada jumlah yang diimport sabagaimana yang diterangkan sebelum ini. Walau bagaimanapun negara yang mempunyai defisit akaun semasa yang kecil seperti Filipina pun terkena juga krisis ini. Jadi, itu menunjukkan bahawa bukan defisit akaun semasa samata-mata yang menjadi faktornya.

 

3.                  Produktiviti yang rendah dan pertumbuhan kredit dalam sektor yang tidak produktif.

Dikatakan dalam 3-4 tahun lepas, perkembangan dalam sektor hartanah adalah melampau. Maksud hartanah ini termasuklah juga tanah untuk tapak rumah, dan padang golf, bangunan untuk ruang pejabat dan seumpamanya. Sektor inilah yang paling tidak produktif kerana ia tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada ekonomi.[30]

 

Di Thailand, sehingga 400,000 buah rumah bernilai AS$2 bilion dikatakan tidak mampu dijual. Para pemaju seterusnya tidak mampu menjelaskan pinjaman bank masing-masing.[31] Ini akan menyebabkan berlaku inflasi harga aset iaitu apabila pembeli-pembeli tidak dapat membayar harga rumah dan pemaju tidak mendapat pulangan daripada pelaburan mereka. Pinjaman tak berbayar bank-bank akan meningkat.

 

Di Malaysia, industri yang berkembang pada pertengahan 90-an bukanlah industri yang berdaya saing diperingkat antarabangsa, tetapi industri yang dilindungi seperti Proton dan juga projek-projek pembinaan seperti KLCC, Empangan Bakun,dan lain-lain projek mega. Projek-projek seperti ini bukan meningkatkan daya saing sebaliknya menjadi beban kepada ekonomi negara kita. Pembangunan sektor hartanah telah menggunakan 50 peratus daripada jumlah pinjaman yang diluluskan. Ini menunjukkan arah pertumbuhan ekonomi yang tidak efisien.

 

Ditambah pula dengan daya pengeluaran atau produktiviti sektor perkilangan yang amat rendah. Walaupun Malaysia merupakan pengeksport air-conditioner yang terbesar di dunia dan pengeksport semiconductor kedua terbesar di dunia, namun semua itu memberi nilai tambah yang sangat kecil. Misalnya, dalam pengeluaran televisyen, bagi sebuah televisyen yang dikeluarkan, pengilang hanya mendapat kurang daripada RM100 upah pemasangan. Vacum cleaner yang harganya RM300-RM400, pengilang hanya mendapat RM5 bagi setiap satu yang dipasangnya. Walaupun pertumbuhan sektor perkilangan dikatakan sangat pesat, nilai tambah sektor ini sangat rendah, malah lebih rendah daripada sektor pertanian.[32]

 

Pertumbuhan sektor eksport Thailand berupa komponon komputer merosot kerana penjualan komputer dunia merosot. Eksport barangan kelas bawahan seperti tekstil dan kayu Indonesia juga merosot .

 

Disamping itu, sumber buruh dikatakan masih berada pada tahap lama dengan pemindahan teknologi yang berlaku amat perlahan. Sebahagian besar kemahiran yang diperlukan belum ada. Dengan lain perkataan tidak ada kecekapan dalam pengeluaran.   

 

4.                  Unsur kronisme dan nepotisme dalam pengagihan kekayaan negara.

Faktor ini sebenarnya kurang kukuh kerana bukti yang nyata untuk mensabitkan krisis dengan aktiviti ini kurang jelas. Walau bagaimanapun ia tetap ada tetapi berjaya disembunyikan oleh pemerintah.

Unsur kapitalisme kuncu dapat dilihat dalam usaha menyelamatkan kepentingan pihak tertentu menunjukkan ia memainkan peranan mempengaruhi siapa yang hendak dipilih. Misalnya tabung RM60 bilion yang diumumkan kerajaan Malaysia untuk menyuntik semula syarikat yang hampir lemas yang diumumkan pada Mac 1998 melibatkan nama seperti Mirzan Mahathir (Konsortium Perkapalan Berhad), KUB (Koperasi UMNO) dan Tajudin Ramli (MAS). Yang jelasnya, ketiga-tiga individu di atas melibatkan orang yang rapat dengan orang atasan pemerintah. Tetapi kita tidak dapat membuktikan bahawa sejauh mana kapitalisme kuncu memberi kesan langsung menyebabkan sistem ini runtuh. Yang nyata, sejumlah besar kredit yang dikeluarkan pihak bank adalah untuk membiayai projek-projek besar syarikat-syarikat tertentu. Sumber pembiayaan ini diperolehi daripada dana asing.

 

Namun begitu, pembolotan harta oleh segelintir individu tertentu yang terpilih ini  menunjukkan ketidakadilan dalam pengagihan kekayaan negara telah berlaku. Golongan yang rapat dan mempunyai kepentingan dengan pemerintah mendapat keutamaan dalam pembiayaan. Kemampuan individu-individu terpilih ini untuk muncul sebagai usahawan-usahawan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa bagaimanapun boleh dipertikaikan. Bagaimana orang-orang yang dihidangkan dengan projek-projek pasti untung, tanpa pengalaman atau modal boleh muncul sebagai usahawan tulen bertaraf antarabangsa yang penuh mencabar. Di Indonesia pengagihan kekayaan dikatakan berlegar dalam keluarga bekas presidennya, Suharto. 

 

Walau bagaimanapun faktor korop  dianggap lemah kerana sehingga kini tiada bukti yang nyata untuk membuktikan tuduhan tersebut. 

 

5.                  Teori pusingan ekonomi.

Krisis kewangan yang membawa kepada krisis ekonomi seperti yang melanda rantau Asia ini dikatakan merupakan satu fenomena semulajadi dalam suatu ekonomi. Keadaan kemelesetan ini adalah sesuatu yang pasti berlaku kepada sesuatu ekonomi dalam lingkungan setiap sepuluh tahun.

 

Mengikut pendapat Dr. Barjoyai Bardai, Malaysia sepatutnya telah pun menyambut kemelesetan ekonomi ini tiga atau empat tahun yang lalu. Kedatangan fenomena ini merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana ia merupakan sunnatullah umpama pasang surut air. Bahkan al-Quran sendiri ada menerangkan fenomena ini dalam surah Yusuf ayat 47 hingga 49.

Allah S.W.T. berfirman yang mafhumnya :

Yusuf berkata : “Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka hendaklah kamu biarkan di tangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan. Kemudian akan datang sesudah itu tujuh tahun yang amat sulit, yang menghabiskan apa yang kamu simpan untuk menghadapinya (tahun sulit). Kecuali sedikit dari (bibit gandum) yang kamu simpan. Kemudian setelah itu akan datang tahun yang padanya manusia diberi hujan (dengan cukup) dan di masa itu mereka memeras anggur.”   

 

Dalam surah Yusuf ini memang ada mengatakan ada pusingan, di mana tujuh tahun yang mewah sebagai persedian untuk tujuh tahun yang susah. Cuma maksud tujuh tahun tidak dapat difahami secara literal, kerana dalam bahasa Arab sesuatu yang lebih daripada dua adalah tujuh.[33]

           

Mengikut analisis ahli ekonomi, kemelesetan akan berlaku apabila pasaran hartanah memuncak. Hal ini berlaku di Thailand dan Malaysia satu setengah atau dua tahun yang lalu. Selepas pasaran hartanah mencapai puncak , bank akan menaikkan kader faedah, dan kemudian kecairan dalan pasaran akan menjadi kecut. Ini merupakan permulaan kepada krisis. Selepas itu, kecairan sepatetnya semakin kecut dalam pasaran, sehingga peniaga–peniaga menjadi sesak dan pasaran saham serta-merta akan turun kerana tidak ada kecairan untuk menyokong. Lima tahun menurun dan lima atau enam tahun menaik.[34]

           

Walau bagaimanapun, disebabkan pertumbuhan yang berterusan selama beberapa tahun, pemimpin-pemimpin di negara-negara Asia cuba menafikan ekonomi boleh turun naik. Di Malaysia misalnya, krisis ini sepatutnya berlaku tiga atau empat tahun yang lalu jika diikutkan pusingan yang normal. Tetapi kerajaan telah mengolah ekonomi itu dan menolaknya dengan cara yang tidak natural. Contohnya dengan melaksanakan pelbagai projek mega dan menolak naik nilai pasaran hartanah. Itu memberi sumbangan yang banyak terhadap kenaikan Keluaran Negara Kasar (KNK). Jadi, walaupun sebenarnya ekonomi sedang mengalami situasi menurun, tetapi ia disembunyikan oleh projek-projek mega ini.

           

Kalau kemelesetan itu dirancang dengan baik, ia boleh menjadi sesuatu yang sangat positif.  Kita tidak akan mengalami krisis yang teruk , kerana memang dengan sengaja menekan ekonomi itu turun dan menyediakan infrastruktur baru sesuatu membuat pelancaran baru untuk sesuatu pusingan yang baru.[35] Tingkat kecekapan dan produktiviti ditingkatkan di samping sumber teknologi yang ada dibangunkan dan diganti mengikut keperluan semasa.

 

6.                  Peringatan daripada Tuhan.

Teori yang berkaitan dengan pemikiran keagamaan ini sukar hendak diuji. Ada orang mengatakan ini adalah keadaan yang menunjukkan kita banyak melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama, menyebabkan kita dilanda musibah satu demi satu seperti  jerebu, kekurangan air, tanah runtuh dan pelbagai bala lagi. Tetapi teori ini sukar untuk disahkan.[36]

 

Sebagai orang Islam, kita sewajarnya mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di masa silam dan mengaitkannya dengan apa yang dilakukan di masa kini. Segala kemewahan dan kemajuan yang dianugerahkan oleh Allah adalah merupakan pemberian-Nya yang tidak terhingga. Kita hendaklah menjadi hamba yang taat setia serta bersyukur atas segala nikmat tersebut. Antara nikmat yang dianugerahkan-Nya ialah nikmat kemerdekaan dan kekayaan sumber asli seperti minyak, kelapa sawit bijih timah dan sebagainya.

 

Allah mempunyai sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim, apabila Dia menyatakan kemurkaan-Nya tentulah pihak yang dimurkai itu benar-benar bersalah. Secara analoginya, seseorang bapa yang terkenal dengan sifat penyayangnya kalau pada suatu hari beliau memukul anaknya, tentulah si anak itu telah melakukan kesalahan yang besar.[37]

 

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :

Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di lautan dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia. (Timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbutan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”                     Surah Ar-Rum ayat 41.  

           

            Allah menurunkan bala sebagai pengajaran supaya manusia sedar akan kesalahan yang mereka lakukan dan kembali bertaubat kepada-Nya. Krisis kewangan dan krisis ekonomi jika dilihat dari perspektif keagamaan atau dari sudut syariah, memang ada hubung kaitnya dengan amalan bisnes dan sistem ekonomi yang diamalkan sekarang. Sistem ekonomi kapitalis yang berasaskan riba tidak mengambil kira dosa dan pahala, sedangkan dalam Al-Quran memerintahkan supaya meninggalkan saki baki amalan berunsurkan riba.[38] 

 

Pengajaran Daripada Krisis

            Terdapat beberapa iktibar dapat diambil oleh para pemerintah negara yang terlibat ekoran krisis ini agar pembangunan yang ingin dibuat nanti tidak terdedah kepada risiko yang tinggi.

           

Pertama, krisis kewangan ini wajar dijadikan iktibar tentang betapa pentingnya langkah berjaga-jaga yang berterusan dilaksanakan dalam semua sektor ekonomi, khususnya sektor kewangan. Kecuaian dan kealpaan dalam menyelia dan menyelenggara sistem dan struktur asas ekonomi, serta kegagalan menjangkakan perubahan drastik atau fenomena yang mengancam dari luar negara, sudah pasti akan mendedahkan kestabilan dan kedinamikan ekonomi kepada serangan spekulatif.[39]

 

Antara faktor yang dianggap penting untuk memperkukuhkan asas ekonomi ialah produktiviti. Produktiviti yang rendah menurut penganalisis ekonomi bukan sahaja menjadi pendorong berlakunya spekulasi dalam pasaran kewangan, tetapi juga mencetuskan defisit akaun semasa yang besar serta pertumbuhan eksport yang lembab. Sebaliknya apabila produktiviti tinggi, kadar eksport akan meningkat dan dengan penurunan nilai mata wang, daya saing barangan eksport itu akan lebih meningkat.[40]

 

Kedua, kepentingan memahami dan mengkaji risiko globalisasi dan integrasi ekonomi. Krisis yang berlaku ini ada kaitannya dengan kegagalan mengambil kira dan mengenal pasti risiko sampingan globalisasi seperti kesan penularan atau kesan jangkitan. Negara-negara membangun di rantau ini sebenarnya masih belum mempunyai sektor kewangan yang mantap, tetapi bersikap terburu-buru meliberalisasikan akaun modal seperti yang berlaku di Thailand dan akhirnya mendedahkan peluang kepada aktiviti spekulatif yang seterusnya boleh meruntuhkan seluruh sistem yang telah dibina.

 

            Pengajaran ketiga ialah jangan terlalu leka dengan kesenangan. Dalam sepuluh tahun terakhir ini, negara-negara membangun di Asia ini telah mencatatkan pertumbuhan yang memberansangkan. Keadaan ini berjaya menarik minat para pelabur asing menanam modal dalam pelbagai sektor terutamanya dalam bentuk pelaburan portfolio. Secara langsung banyak modal dapat dikumpul hasil dari wang panas tersebut.

 

            Modal yang banyak ini bagaimanapun disalurkan sektor-sektor yang tidak produktif, misalnya bidang hartanah dan pasaran saham. Keadaan ini telah menggalakkan spekulasi dan inflasi aset. Oleh itu, menjadi peranan pemerintah memastikan pertumbuhan ekonomi adalah selari dengan kemampuan sebenar sesebuah negara dan dalam masa yang sama memantau perkembangan yang berlaku di sekelilingnya. Pemerintah seharusnya memastikan tidak berlaku pelaburan atau perbelanjaan yang melampau dan dibiayai pula dengan pembentukan hutang yang terlampau besar. Dengan kata lain, semua pihak harus bertumbuh selaras dengan kemampuan sumber yang ada.

 

            Seterusnya pengajaran keempat, melalui krisis ini telah membuktikan betapa kemantapan dan keposifan asas ekonomi mampu menjadi benteng penghalang ancaman dan aktiviti spekulasi. Sekiranya petunjuk ekonomi seperti defisit pembayaran dan defisit akaun semasa, kadar pertumbuhan, inflasi, indeks perindustrian, jumlah pinjaman domestik dan pinjaman luar negara dan lain-lain menunjukkkan aliran perkembangan positif, maka para spekulator itu akan berfikir beberapa kali sebelum melaksanakan muslihat masing- masing. Oleh itu, kerjasama semua sektor perlu untuk mengekalkan petunjuk ekonomi positif.

 

            Akhir sekali, krisis ini juga memberi pengajaran tentang pentingnya kerjasama serantau dalam mewujudkan strategi kolektif untuk menentang sebarang spekulasi dalam pasaran pertukaran asing, khususnya spekulasi yang bukan semata-mata bermotifkan keuntungan, tetapi mempunyai agenda politik di sebaliknya.[41] Tanpa kesepaduan pendapat dan tindakan, sesuatu langkah untuk menangani krisis kurang mencapai objektifnya.     

 

Kesimpulan dan Penutup

Daripada perbincangan kita di atas, dapatlah dirumuskan bahawa krisis kewangan di rantau Asia tidak mungkin separah ini sekiranya disebabkan satu faktor sahaja. Umpama sebatang pokok yang teguh tidak mungkin akan tumbang dengan mudah walaupun tiupan ribut. Ia pasti dibantu oleh keadaan akarnya yang mereput atau keadaan sekitar tempat ia tumbuh yang mudah terdedah kepada pelbagai perubahan iklim.

 

Faktor spekulator bolehlah dikatakan sebagai pencetus kepada krisis, di samping dibantu oleh faktor-faktor persekitaran dan kepincangan polisi ekonomi dalaman. Namun untuk menuduh spekulator mata wang semata-mata sebagai pemusnah ekonomi di rantau ini adalah satu tuduhan yang melulu. Sebagai pedagang yang oportunis, mereka pasti mahu membuat untung yang banyak. Dan pada masa yang sesuai, apabila berlaku masalah-masalah dalam pelaksanaan dasar ekonomi khususnya di Asia, mereka mengambil peluang.

 

Sebelum Julai 1997, petanda-petanda krisis sudah mula kelihatan dan pakar-pakar ekonomi sendiri mengakuinya berasaskan perangkaan ekonomi sepanjang beberapa tahun kebelakang ini. Garis-garis yang menyebabkan krisis ini kebetulan bersilang pada pertengahan Julai 1997 untuk menjadikannya satu krisis kewangan. Faktor-faktor serangan spekulator, integrasi ke dalam pasaran global tanpa prasarana yang secukupnya, kelemahan dasar ekonomi dalaman, teori pusingan ekonomi dan balasan daripada Tuhan yang bertemu pada masa yang sama, menyerlahkan krisis ini.

 

Kita juga boleh menilai apa sebenarnya yang tersirat di sebalik tindakan spekulator terhadap beberapa negara di sebelah sini. Hal ini mungkin ada kaitannya dengan kebangkitan negara-negara Asia yang berpotensi untuk menguasai ekonomi dunia menjelang abad ke-21. Oleh itu, sebelum “Harimau-harimau Asia” mengaum adalah lebih baik kuku dan taringnya dicabut. Mungkin itu merupakan salah satu tindakan Barat untuk menyekat kemaraan Asia daripada mengatasi penguasaan ekonomi dan ketamadunan mereka.

 

Kesannya, bagi negara yang teruk dilanda krisis akhirnya terpaksa akur menerima bantuan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) beserta pakejnya sekali. Dengan itu, negara-negara ini terpaksa mengikut telunjuk IMF dalam pelaksanaan dasar-dasar bagi menyelesaikan kemelut ekonomi negara masing-masing. Secara langsung Barat telah berjaya untuk campur tangan terhadap urusan ekonomi negara tersebut. Inilah yang dimaksudkan dengan penjajahan emperialisme kapitalis baru terhadap negara-negara Asia.    

 

Sebagai manusia biasa, kita juga perlu menerima hakikat pusingan alam yang telah ditentukan Tuhan. Ada ketika berada di atas dan pastinya akan turun semula. Ada kala menguntungkan dan ada masa merugikan pula. Ini semua adalah bukti kekuasaan dan keadilan Tuhan bagi mereka yang berfikir.

 

 

 

 

 

Nota hujung


 

[1] Tan Sri Dato’ Seri Ali Abul Hassan Bin Sulaiman, dalam Ucapan Pelan Pemulihan Semula Ekonomi Negara – Beberapa Ciri Dan Keadaan Terkini, 17 September 1998, Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 1998. 

[2] Kamus Dewan Edisi Ketiga , Dewan Bahasa Dan Pustaka Kuala Lumpur 1994.

[3] Kertas Putih Mengenai Status Ekonomi Malaysia.

[4] Rustam A.Sani, Natijah Globalisasi, Majalah Tamadun September 1998 ms 72.

[5] Ibid.

[6] Massa, 13 September 1997ms 24.

[7] Ibid.

[8] Abd.Malik Hussein, Mahathir vs. Soros, Majalah Dewan Ekonomi Oktober 1997 ms 5.

[9] A. Nazri Abdullah, Komentar : Strategi Baru Anarkis Kapitalis Baru, Berita Minggu 27 Julai 1997.ms 10.

[10] Ibid.

[11] Wan Mansor Wan Mahmood, Urus Niaga Pertukaran Mata Wang Asing, DBP 1993 ms 71-72.

[12] Ibid.

[13] Data Niaga September 1998.

[14] Dr. Mohd. Haflah Paei, Majalah Tamadun Oktober1998.

[15] Dr. Jomo K. Sundram, Majalah Tamadun Julai 1998 ms 7.

[16] Tan Sri Dato’Seri Ali Abul Hasan Bin Sulaiman, op.cit.

[17] Rustam A. Sani, op.cit.

[18] Ibid ms 73.

[19] Kerajaan Chavalit Menghitung Hari, ms 25, Massa 13 September 1997.

[20] Ramlan Abd. Wahab, Serangan Mata Wang : Menjatuhkan Negara Membangun. Dewan Masyarakat September 1997 ms 21

[21] Majalah Tamadun September ms 71.

[22] Ibid.

[23] Petikan teks ucapan Datuk Seri Dr. Mahathir semasa Perhimpunan Agung UMNO Ke-52 (Berita Harian 20 Jun 1998).

[24] Tamadun September 1998 ms 75.

[25] Massa 13 September 1997.

[26] Kertas Putih Mengenai Status Ekonomi Malaysia, Bank Negara Malaysia.

[27] Tamadun Oktober 1998 ms 10.

[28] Wan Mansor Wan Mahmood, op.cit. ms 68.

[29] Dr. Mohd. Haflah Paei, Tamadun Oktober 1998.

[30] Dr. Jomo K.Sundram Tamadun Julai 1998.

[31] http://www.GATRA.com/

[32] Dr. Barjoyai Bardai, Tamadun Ogos 1998 ms 9.

[33] Barjoyai Bardai, Tamadun Ogos 1998 ms 8.

[34] Ibid, ms 7-8.

[35] Ibid, ms 9.

[36] Dr. Ismail Salleh, Tamadun September 1998, ms 9.

[37] Prof. Dr.Harun Din, Kegawatan Ekonomi Sekarang Hubungkaitnya Dengan Amalan Bisnes Dan Sistem Ekonomi Yang Diamalkan.(Kertas kerja).

[38] Ibid.

[39] Ramlan Abd. Wahab, op.cit. ms 21

[40] Ibid.

[41] Ibid ms 22

 

 

 

.