Make your own free website on Tripod.com

SISTEM KEWANGAN ISLAM

Vs SISTEM KEWANGAN KONVENSIONAL

Oleh : Khairol Azli Mohamad

 

Soalan: Jumlah institusi yang banyak dan mencukupi menjadi pra syarat kepada sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju. Bagaimana anda menanggapi kenyataan ini?

 

INTRODUKSI

            Sudah menjadi satu kemestian bagi mana-mana sistem kewangan mempunyai unsur-unsur atau pra syarat yang tetentu untuk membuatkan sesuatu sistem kewangan sama ada sistem kewangan Islam atau pun sistem kewangan konvensional menjadi canggih dan berdaya maju. Dalam sistem kewangan Islam sendiri sudah tentunya ianya mempunyai syarat-syarat tertentu yang membuatkannya canggih dan berdaya maju. Antaranya ialah sistem kewangan Islam memerlukan kepada institusi yang yang banyak dan memcukupi untuk membolehkan sistem kewangan Islam bergerak seiring dengan sistem kewangan konvensional.

            Walaupun sistem kewangan konvensional tidak dapat dihapuskan pada masa kini walaupupun beberapa kali dicadangkan oleh beberapa pihak, namun tidak semestinya sistem kewangan Islam tidak boleh bersaing dengan sistem kewangan konvensional dari segenap aspek. Islam sememangnya sebuah agama yang syumul yang merangkumi segenap aspek kehidupan termasuklah sistem kewangan Islam, dan Islam menghendaki sesuatu sistem yang ada dalam Islam itu seperti sistem kewangan Islam canggih dan berdaya maju serta setanding dengan sistem kewangan konvensional bukan sahaja dari segi falsafah dan prinsipnya sahaja.

 

 

Elemen-elemen Dalam Sistem Kewangan Islam

            Sistem kewangan Islam sebenarnya hendaklah mempunyai dua unsur atau elemen berikut: [1] 

Unsur yang pertama dalam sistem kewangan Islam ianya hendaklah berteraskan Islam sepenuhnya bukan nama dan labelnya sahaja. Sistem kewangan Islam sepatutnya tidak mempunyai campuran dari mana unsur yang diharamkan oleh Islam seperti mempunyai unsur penindasan seperti riba. Ianya hendaklah berteraskan tauhid dan pelaksanaannya hendaklah selari dengan syariah Islamiah.

Institusi kewangan Islam pada peringkat awalnya bergantung kepada sistem ekonomi konvensional, iaitu satu sistem yang diasaskan dan diperkenalkan oleh barat yang mana sistem ekonomi barat tidak menitikberatkan aspek agama dan moral. Contohnya sistem perbankan negara kita sekarang masih lagi bergantung kepada sistem kewangan konvensional iaitu kegiatan yang berasaskan kepada interest atau faedah.[2]

            Unsur yang kedua ialah sistem kewangan Islam mestilah mempunyai ciri-ciri sesuatu sistem yang canggih dan berdaya maju agar dapat bersaing dengan sistem kewangan konvensional dalam semua aspek bukan semata-mata teori atau falsafahnya sahaja tetapi pelaksanaannya langsung tidak menunjukan ciri-ciri suatu sistem yang canggih dan berdaya maju.

            Untuk mencapai sistem kewangan yang mempunyai satu sistem yang canggih dan berdaya maju ianya mestilah mempunyai tiga pra-syarat beikut:[3]

            Yang pertama ialah sistem kewangan Islam hendaklah mengandungi pelbagai instrumen. Instrumen sebenarnya didefinisikan sebagai dokumen rasmi yang sah mengukut perundangan dan peraturan tertentu yang menyatakan hak-hak pihak tertentu dalam sesuatu kontrak, misalnya bon, saham dan sebagainya.[4] Instrumen kewangan juga dikenali sebagai obligasi kewangan bagi peminjam dana kepada pemilik pemegang instrumen tersebut. Bagi pemilik instrumen tersebut, instrumen tersebut adalah aset kewangan manakala bagi pemegang instrumen, instrumen tersebut dikenali sebagai obligasi kewangan atau tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman yang telah dibuat. 

Dalam sistem kewangan Islam, semua bentuk instrumen yang harus dalam sistem kewangan Islam atau tidak bercanggahan dengan syara’ mesti disediakan oleh sistem kewangan Islam tersebut bagi mencapai satu matlamat merealisasikan sebuah sistem kewangan yang canggih dan berdaya maju. Sesebuah sistem kewangan tidak boleh mewujudkan beberapa instrumen kewangan sahaja dengan mengabaikan beberapa instrumen kewangan yang lain kerana sistem kewangan Islam seharusnya mampu untuk menyediakan dan membiayai pelbagai keperluan masyarakat masa kini. Ianya penting bagi memberikan khidmat yang terbaik setanding dengan sistem kewangan konvensional yang ada sekarang.

Pra-syarat yang kedua bagi sistem kewangan Islam ialah adanya jumlah institusi yang banyak dan mencukupi. Pra syarat inilah yang akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam kertas kerja ini yang mana untuk menyelesaikan persoalan di atas iaitu bagaimana anda mengggapi bahawa jumlah institusi yang banyak dan mencukupi menjadi pra syarat kepada sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju.

Manakala pra-syarat yang ketiga ialah mesti ada satu mekanisme yang menghubungkan antara instrumen kewangan tadi dengan institusi yang telah diwujudkan. Ini penting kerana jika tidak wujud satu mekanisme yang betul-betul dapat menguhubungkan kedua-dua elemen tadi maka sudah tentu tidak dapat diwujudkan satu sistem kewangan yang canggih dan berdaya maju kerana kedua-duanya saling berkaitan antara satu sama lain. Adanya instrumen tanpa institusi kewangan adalah mustahil intrumen-instrumen tersebut dapat dipasarkan atau disalurkan kepada masyarakat. Begitu juga sebaliknya.

 

Institusi-institusi Kewangan

            Sebelum kita mengkaji atau membuat keputusan dalam menanggapi sejauh manakah kebenarannya bahawa jumlah institusi yang banyak dan mencukupi sebagai pra-syarat kepada sistem kewangan yang canggih dan berdaya maju terlebih dahulu kita perlu meninjau atau mengkaji apa sebenarnya institusi dalam sistem kewangan Islam, pembahagiannya dan peranan setiap institusi kewangan masing-masing supaya lebih memudahkan kita menjawab persoalan kajian ini yang mana sebelum menanggapi ianya sama ada benar atau tidak atau sebagainya adalah perlu kita mendalami institusi itu sendiri kerana persoalan kajian betapa perlunya institusi yang banyak boleh membawa kepada satu sistem kewangan Islam yang berdaya maju, produktif serta konprehensif banyak terkandung dalam kajian kita terhadap institusi itu sendiri.

            Institusi kewangan menurut kamus perbankan boleh didefinisikan sebagai institusi yang diberi lesen untuk menjalankan aktiviti mengumpul dana atau sumber kewangan daripada orang ramai atau institusi lain, dan menggunakan sumber kewangan ini bagi tujuan memberi pinjam kepada mereka yang memerlukannya, ataupun melabur semula bagi mendapatkan pulangan yang lebih tinggi. Misalnya, bank perdagangan, syarikat kewangan, syarikat insurans, dan firma broker.[5]

            Institusi kewangan juga boleh ditakrifkan sebagai sebuah institusi yang mencipta dan memperniagakan instrumen kewangan di samping memudahkan aliran kewangan di samping memudahkan aliran sumber-sumber antara peserta-peserta pasaran kewangan.[6]

            Daripada dua definisi yang diberikan di atas dapatlah disimpulkan bahawa kedua-duanya membawa pengertian yang sama cuma dalam bentuk ungkapan yang berlainan. Apa yang penting, institusi kewangan merupakan satu badan yang amat penting dalam sistem kewangan yang mana untuk mewujudkan satu sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju, sesebuah sistem kewangan memerlukan kepada kepelbagaian pilihan dalam menyediakan instrumen untuk memenuhi kehendak pelanggan yang berbagai-bagai. Justeru, institusi kewangan memainkan peranan penting dalam memasarkan instrumen-instrumen kewangan tadi kepada peserta-peserta pasaran kewangan yang lain yang mana instrumen-instrumen tersebut merupakan produk-produk bagi institusi kewangan.

Institusi kewangan sebenarnya merupakan peserta yang paling penting dalam pasaran kewangan dalam sistem kewangan. Institusi kewangan menjalankan pelbagai fungsi utama dalam sistem kewangan dan fungsi yang terpenting ialah sebagai pengantara kewangan.[7]

Fungsi pengantara kewangan ialah untuk memudahkan penyaluran dana tabungan untuk pelaburan iaitu dikatakan sebagai proses penyaluran dana daripada unit lebihan dalam sesebuah unit ekonomi dengan obligasi (iaitu janji untuk bayar atau tanggung jawab membayar balik) daripada unit kekurangan.

Institusi kewangan merupakan satu firma perniagaan yang aset utamanya adalah terdiri daripada aset-aset kewangan atau tuntutan-tuntutan seperti saham, bon, dan pinjaman bukannya terdiri daripada aset nyata yang kita boleh nampak seperti bangunan, peralatan, bahan mentah dan sebagainya. Dengan kata lainnya institusi-institusi kewangan adalah satu firma yang menjalankan aktiviti perniagaan instrumen-instrumen kewangan dan bukannya menjalankan aktiviti perniagaan yang berasaskan barangan dan bukan juga menjalankan aktiviti pengeluaran barangan.

Bahkan institusi-institusi kewangan lebih berfungsi sebagai perantara kewangan yang mana pengantara kewangan melibatkan pembelian instrumen kewangan oleh institusi kewangan dalam pasaran kewangan dengan dana yang diperolehi daripada penyimpan-penyimpan yang menghendaki sekuriti sama ada langsung atau tidak langsung. Sekuriti langsung adalah sekuriti yang dikeluarkan sama ada oleh pihak kerajaan atau swasta kepada firma-firma yang memerlukan pembiayaan terhadap operasi mereka manakala sekuriti tak langsung adalah sekuriti yang dikeluarkan kepada peserta pasaran kewangan bukan firma iaitu individu atau orang perseorangan.

Adalah mustahil bagi pihak firma untuk mendapatkan pembiayaan daripada para pendeposit atau para penyimpan yang jumlah agak ramai tanpa bantuan pihak pengantara kewangan dalam pasaran kewangan.

Contohnya sebuah syarikat pengeluaran yang inginkan pembiayaan terhadap operasi pengeluaran mereka akan terus berurusniaga dengan institusi kewangan yang berfungsi sebagai pengantara kewangan tanpa perlunya mereka mencari sumber pembiayaan dari orang ramai secara terus kerana mustahil untuk berurusan dengan sejumlah penyimpan yang agak ramai bilangannya. Begitu juga dengan para penyimpan atau para pelabur, tentu agak sukar bagi mereka yang hendak membuat simpanan atau pelaburan dengan berurusan terus dengan firma. Jadi untuk memudahkan mereka berurusan antara satu sama lain institusi kewangan diwujudkan sebagai pengantara kewangan.

Institusi Kewangan Islam

Jika dikaji dari sudut sejarah, hanya beberapa institusi kewangan sahaja yang pernah diwujudkan oleh orang Islam. Institusi-institusi kewangan tersebut termasuklah baitulmal, waqf dan takaful.[8]

1.      Baitulmal

Sebenarnya peranan baitulmal menyerupai Kementerian Kewangan pada masa sekarang. Ianya dijaga oleh seorang yang khusus seperti bendahari atau menteri kewangan sekarang. Ia merupakan tempat khas untuk menjaga harta negara dan perbelajaan yang dikeluarkan tidak bertentangan dengan syara’. Unsur keseimbangan antara perbelanjaan dan pendapatan turut di ambil kira.[9]

Baitulmal yang juga merupakan badan perbendaharaan dan peranannya bukan setakat menyimpan dan mengagihkan harta kerajaan bahkan peranannya jauh lebih penting daripada itu antaranya:

a)      Memainkan peranan penting dalam membentuk dan menggubal dasar kewangan dan pembiayaan awam yang kini dilakukan oleh Kementerian Kewangan.

b)     Melaksanakan tugas bank pusat terutama sebagai sumber pemberi pinjam terakhir.

c)      Membentuk dasar dan melaksanakan perangcangan dan pembangunan negara.

d)     Berperanan mengutip segala kutipan (zakat, dan cukai lain) yang wajib atau pun harus.

e)      Melaksanakan juga melaksanakan sistem sekuriti sosial yang paling ulung.

2.      Waqf.

Institusi waqf juga digolongkan sebagai institusi kewangan yang pernah wujud pada zaman Rasulullah. Waqf membawa maksud tahankan atau hentikan. Pada prinsipnya, harta yang diwaqfkan itu tidak dapat digunakan lagi, cuma hasilnya yang dapat digunakan untuk faedah penerima waqf tadi.

Waqf memainkan peranan yang amat penting sebagi sumber kewangan untuk berbagai-bagai tujuan yang berfaedah bagi seseorang, kumpulan, masyarakat, dan lain-lain. Contohnya Universiti al-Azhar dibiayai sepenuhnya oleh sistem waqf sahaja. Oleh itu setiap penuntut tidak perlu membayar apa-apa yuran hingga ke hari ini.

            Menurut satu riwayat, mewaqfkan harta adalah satu perkara biasa yang dilakukan oleh hampir setiap orang yang berharta pada masa silam. Sayyidina Jabir r.a. pernah berkata ”Tidak seorang pun daripada sahabat-sahabat Rasulullah saw yang berkemampuan melainkan mereka itu telah mewaqfkan (sebahagian daripada mereka)”.[10]

3.      Takaful

Pada akhir kurun ke-8, orang-orang Islam membentuk dan memperkembangkan sains lautan dan membina sebuah unit angkatan laut yang kuat di Mediterranean. Orang-orang Islam juga menjadi pemerintah tunggal di laut dan juga di darat di timur dan barat pada zaman pertengahan. Kapal-kapal mereka yang membawa manusia dan barangan belayar jauh ke timur tanpa sebarang gangguan.

            Mereka juga mengamalkan kontrak takaful berdasarkan kepentingan bersama. Mereka membuat perjanjian takaful untuk kapal-kapal serta dagangan dalam kapal mereka berdasaarkan prinsip kepentingan bersama. Setiap kapal-kapal dagangan dari pusat dagangan utama seperti di Seville, Cordoba di Sepanyol ke India dan Lautan Pasifik di jamin dibawah kontrak takaful. Sebarang kerugian kerana kemalangan dalam lautan dibayar daripada takaful yang terdiri daripada para pedagang tadi, tanpa sebarang unsur riba.[11]  

            Perbezaan antara urusan syarikat takaful dan syarikat insurans konvensional ialah dari niat, prinsip, dan urusniaga. Dalam konsep takaful, peserta rangcangan takaful bersetuju memberi berdasarkan tabarru’ (derma) dengan niat membantu antara satu sama lain berbeza dengan sistem kewangan konvensional, objektif peserta ialah hanya untuk hanya untuk mendapatkan keuntungan dan perlindungan. Manakala prinsip amalan takaful dapatlah disimpulkan sebagai satu usaha kerjasama, lindung-melindungi dan tolong-menolong antara anggota masyarakat yang sama-sama ingin mendapatkan perlindungan bagi menghadapi kemungkinan mala petaka dan bencana Dan dari segi urusniaga pula skim takaful nyata mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syara’.[12] 

 

Susun bentuk Institusi

            Setelah membincangkan institusi kewangan Islam yang pernah wujud dulu kita lihat pula struktur sistem kewangan Islam sekarang.  Perbincangan tentang susunbentuk institusi adalah penting kerana di dalamnya mengandungi cadangan penyelesaian masalah dalam pelaksanaan sistem kewangan dan terdapat juga gambaran jawapan terhadap persoalan institusi yang banyak dan mencukupi menjadi pra syarat kepada sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju.

Rangkaian institusi-instiusi ini adalah amat perlu:[13]

1.      Bank pusat.

2.      Bank-bank perdagangan.

3.      Insitusi-insitusi kewangan bukan kewangan.

4.      Insitusi-insitusi kredit khas

5.      Perbadanan Insurans Deposit

6.      Perbadanan Audit Pelaburan.

Tiap-tiap daripada institusi-institusi ini ini merupakan satu bahagian bersepadu di dalam sistem kewangan Islam dan ia tidak boleh dipisahkan daripada mana-mana institusi jika mahukan sebuah sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju.

1.      Bank Pusat.

            Bank pusat merupakan organisasi yang berfungsi sebagi badan induk sistem perbankan sesbuah negara.[14] Tugasnya mengawal keseluruhan sistem pasaran kewangan supaya bergerak dengan licin dan teratur. Bank pusat di Malaysia ialah Bank Negara Malaysia.

Sesebuah bank pusat mestilah menjadi paksi kepada sistem bank Islam kerana menerusi usaha-usahanya yang gigih sahajalah yang dapat memastikan sama ada sistem urusan bank Islam mencapai cita-citanya atau tidak. Ia haruslah bersifat sebagai sebuah institusi yang mempunyai autonomi, dan bertanggungjawab melaksanakan matlamat-matlamat sosioekonomi di dalam dan menerusi bidang urusan bank dan kewangan.

2.      Bank-bank perdagangan.

Bank perdagangan ialah perbadanan yang memiliki lesen secara bertulis, untuk mengendalikan perniagaan perbankan, iaitu menerima wang melalui akaun semasa atau deposit, membayar dan mengutip cek atau deposit, membayar dan mengutip cek yang ditulis atau yang diserahkan oleh pelanggan, dan membuat pendahuluan kepada pelanggan, termasuklah perniagaan lain yang dibenarkan oleh oleh pihak bank pusat.[15]

Perbezaan nyata pada bank-bank perdagangan dengan bank Islam ialah selain dari aspek penghapusan riba, ialah dari aspek perkhidmatan yang disediakan oleh bank Islam lebih mengutamakan kepentingan awam daripada kepentingan individu. Bank-bank Islam mesti menggunakan semua deposit yang diterima daripada orang awam bagi menawarkan perkhidmatan untuk untuk kepentingan awam dan melaksanakan matlamat sosial Islam bukan demi kepentingan mana-mana individu semata-mata.

Bank-bank Islam juga merupakan bank-bank universal atau bank pelbagai guna dan bukan sebagai bank perdagangan semata-mata. Bank-bank Islam harus merupakan suatu hasil campuran di antara bank-bank perdagangan, bank-bank pelaburan, amanah-amanah pelaburan, dan institusi pengurusan pelaburan yang boleh menawarkan berbagai perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan mereka bagi tempoh jangka masa panjang.[16]

3.      Institusi-institusi kewangan bukan bank.

Ianya merujuk kepada amanah-amanah atau bank-bank pelaburan dan sebagainya. Mereka bertindak memobilisasikan tabungan-tabungan menerusi ekuiti dan deposit mudarabah yang ditawarkan kepada pelabur-pelabur berkenaan. Peranan institusi-instusi ini ialah sebagai pengantara yang membantu penabung-penabung mencari peluang-peluang yang menguntungkan bagi disalurkan tabungan-tabungan mereka, seterusnya membantu usahawan-usahawan di dalam mencari dana-dana yang bertujuan untuk membiayai dan memperbesarkan perniagaan mereka.

Antara contoh institusi kewangan bukan bank yang terdapat di Malaysia ialah  Lembaga Tabung Haji, Syarikat-syarikat Takaful, dan sebagainya.

            Institusi kewangan lain yang disebut dalam susunbentuk institusi kewangan Islam ialah institusi-institusi kredit khas, perbadanan insurans deposit, dan perbadanan audit pelaburan yang tak dapat diterangkan dengan lebih lanjut di sini kerana tidak disebutkan dalam sistem kewangan yang ada di Malaysia.

 

Institusi Kewangan Di Malaysia

            Secara umumnya institusi kewangan di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu sistem perbankan dan sistem perantaraan bukan perbankan. Dan sistem perbankan pula boleh dibahagikan kepada dua iaitu institusi bukan monetari dan bukan moneteri. Instusi monetari ini termasuklah Bank Negara Malaysia sendiri dan bank-bank perdagangan. Manakala institusi bukan monetari ini termasuklah syarikat kewangan, bank saudagar, rumah diskaun perbadanan jaminan kredit.

            Intitusi perantaraan kewangan bukan perbankan pula boleh dibahagikan kepada tujuh jenis yang utama iaitu Institusi Pembangunan Kewangan, Institusi Tabungan/Simpanan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Syarikat Insurans, Perantara Kewangan yang lain, termasuklah Institusi kredit perumahan, Unit Amanah dan Institusi Pelaburan Khas (Yayasan Pelaburan) dan Pasaran Saham.[17]

 

Institusi Yang Banyak Dan Mencukupi Menjadi Pra Syarat Kepada Sistem Kewangan Yang Canggih Dan Berdaya Maju

            Oleh itu, institusi yang banyak dan mencukupi sudah semestinya menjadi pra syarat kepada sistem kewangan yang canggih dan berdaya maju ini kerana jumlah intitusi yang banyak sangat penting  dalam kehidupan masyarakat Islam masa kini. Mereka nyata memerlukan satu alternatif kepada sistem kewangan Islam yang lebih islamik bukan semata-mata sistem kewangan Islam yang mempunyai nama dan labelnya sahaja. Justeru, alternatif yang terbaik sepatutnya disediakan kepada mereka dengan mengadakan jumlah intitusi yang banyak dan mencukupi untuk menampung permintaan pelanggan yang terdiri masyarakat Islam.

            Ini kerana institusi kewangan di negara ini pada peringkat permulaannya bergantung kepada sistem kewangan konvensional yang diasaskan dan diperkenalkan oleh barat. Sistem bank di Malaysia sehingga kini masih mengamalkan sistem berasaskan faedah atau interest  yang mana isu bunga atau faedah ini mendapat perhatian daripada golongan yang peka kepada Islam. Ini merupakan masalah yang timbul kerana masyarakat Islam hari ini masih belum diberi pilihan yang cukup dalam bermuamalah.

Justeru lebih banyak institusi dengan kepelbagaian instrumen perlu disediakan untuk memudahakan masyarakat Islam bermumalah secara Islam. Contohnya di Pahang, Bank Islam Malaysia Berhad  hanya terdapat dua cawangan sahaja iaitu di Temerloh dan dan Kuantan.[18] Ini menimbulkan masalah kepada pengguna.

Namun begitu Sistem Perbankan Tanpa Faedah (SPTF) telah diperkenalkan oleh bank-bank konvensional untuk memberi pilihan bermuamalat secara Islam kepada pengguna.

Begitu juga dalam hal insurans. Hampir semua aktiviti dalam masyarakat maju adanya insurans. Rumah ada insurans dan sebagainya.

Jumlah institusi yang banyak juga penting kerana dengan hanya institusi yang banyak sahaja kita dapat memperdalamkan sesuatu sistem kewangan, iaitu memberi depth kepada sistem itu.[19] Jikalau ianya diniagakan oleh satu atau dua sahaja seperti Bank Islam yang berlaku di Pahang maka ianya menjadi tidak popular dan tidak dikenali ramai. Pihak institusi tidak dapat mengenal pasti apakah kehendak dan kemahuan pengguna kerana sistem mereka tdak popular.

Sebaliknya berlaku bagi institusi yang banyak, ianya akan popular di kalangan masyarakat dan membuatkan pihak instusi akan terus memperdalami sistem kewangan itu sendiri dengan membuat kajian terhadap kehendak dan keperluan pengguna. Ini akan membuat berkembangnya lagi fungsi institusi kewangan Islam untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan demi untuk mencapai sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju.

Selain itu, institusi yang banyak juga memberikan kelebihan dari segi saingan yang mana jika terdapat banyak jumlah institusi-institusi kewangan Islam dalam pasaran, mereka akan bersaing sesama mereka dan ini membuatkan mereka akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan memperbaiki kualiti produk yang ditawarkan.[20] Pihak institusi- institusi kewangan akan berusaha membuat kajian dengan lebih efektif bagaimana untuk membuatkan sistem kewangan Islam itu canggih dan berdaya maju.

Antara kepentingan lain betapa perlunya institusi kewangan yang banyak dan mencukupi ialah seperti yang kita ketahui, fungsi institusi sebenarnya ialah sebagai pengantara kewangan yang mana institusi juga merupakan peserta penting dalam pasaran kewangan. Jadi untuk mewujudkan satu pasaran kewangan yang betul-betul berteraskan Islam sepenuhnya demi untuk mengadakan satu sistem kewangan yang canggih dan berdaya maju, sebuah sistem kewangan Islam perlunya banyak dan mencukupi. Kalau tidak, bagaimana hendak kita wujudkan satu pasaran kewangan yang Islamik tanpa adanya institusi-institusi kewangan yang banyak dan mencukupi.

Dalam perbincangan kita terhadap susubentuk institusi kita melihat perlunya wujud susunbentuk institusi yang lengkap untuk mewujudkan satu sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju. Ia merupakan satu lagi bukti tentang kepentingan tentang jumlah institusi yang banyak dan mencukupi merupakan pra syarat kepada sebuah sistem yang canggih dan berdaya maju. Sebagai contoh instittusi seperti bank pusat adalah penting untuk menentukan dasar kewangan sesebuah negara, juga untuk mencapai sebuah sistem kewangan Islam yang canggih dan berdaya maju.

            Sebenarnya pihak berkuasa mempunyai tiga pilihan utama terhadap cadangan untuk meningkatkan jumlah institusi yang boleh menawarkan perbankan Islam iaitu:

1.      Membenarkan penubuhan bank-bank Islam yang baru.

2.      Menbenarkan bank-bank konvensional menubuhkan syarikat subsidiari atau anak syarikat yang menawarkan perbankan Islam.

3.      Membenarkan bank-bank konvensional menawarkan khidmat perbankan Islam dengan menggunakan struktur dan cawangan yang sedia ada.

Jadi setelah diteliti, pihak berkuasa bersetuju dengan yang ketiga kerana pilihan ketiga sememangnya tepat kerana paling cekap dan berkesan untuk meningkatkan bilangan institusi yang menawarkan perbankan Islam pada kos yang rendah dan dalam masa yang singkat. Ini kerana pilihan yang pertama dan kedua melibatkan kos yang tinggi kerana untuk mengadakan satu cawangan memerlukan kos sejumlah RM500,000, memakan masa yang lama dan memerlukan tenaga kerja yang ramai.[21]

Oleh itu, satu skim telah dirangka untuk membenarkan institusi kewangan konvensional menawarkan khidmat perbankan tanpa faedah.      

Dengan ini jelaslah bahawa institusi yang banyak dan mencukupi menjadi pra syarat kepada sebuah sistem kewangan yang canggih dan berdaya maju.


 

[1] Teori, Amalan Dan Prospek Sistem Kewangan Di Malaysia oleh Nor Mohamad Yakcop tebitan Utusan   Publication Sdn Bhd 1996 ms 32.

[2] Islam: Penyelesaian Permasalahan Zaman Moden disunting oleh Siti Fatimah Abd Rahman dan Hamiza Ibrahim terbitan IKIM jilid 3 ms 133.

[3] Op-cit oleh Nor Mohamad Yakcop ms 33.

[4] Kamus Perbankan disusun oleh Shaari Abd Hamid terbitan DBP 1998 ms 37.

[5] Op-cit Shaari Abd Hamid ms 36.

[6] Sistem Kewangan Islam Dan Pelaksanaannya Di Malaysia oleh Ab Mumin Ab Ghani Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera Dan Sains Sosial, Universiti Malaya 1997 ms 53.

[7] Ibid ms 53.

[8] Pasaran Dan Institusi Kewangan Islam Di Malaysia Teori Dan Amalan.oleh Othman Yong terbitan DBP 1993 ms 285.

[9] Perakaunan Syarikat Dan Bank Menurut Sistem Islam oleh Muhammad Kamal Attiyah terjemahan Mohd Ghazali Abd Wahid DBP 1992 ms 133.

[10] Islam: Ekonomi Dan Pengurusan ms 110.

[11] Op-cit Othman Yong ms 286.

[12] Op-cit Nor Mohamed Yakcop ms 117.

[13] Ke Arah Sistem Kewangan Yang Lebih Adil oleh M Umer Chapra terjemahan Ismail bin Umar DBP 1990 ms 148.

[14] Op-cit Dr Shaari Abd Hamid ms 15.

[15] Ibid.

[16] Op-cit M Umer Chapra ms156.

[17] OP-cit Othman Yong ms 139.

[18] Op-cit Siti Fatimah Abd Rahman dan Hamiza Ibrahim ms 140.

[19] Op-cit  Nor Mohamd Yakcop ms 36.

[20] Op-cit Abd Mumin Abd Ghani ms 368.

[21] Ibid ms 768.