Make your own free website on Tripod.com

 

Google

SISTEM PENGURUSAN ISLAM

Pengurusan Islam vs Pengurusan Konvensional

Oleh : Khairol Azli Mohamad

 

Soalan : Pada pendapat anda, apakah yang menjadi masalah dan kekangan kepada kemajuan Sistem Pengurusan Islam berbanding dengan sistem Pengurusan Konvensional pada zaman moden?

 

INTRODUKSI

 

Sistem Pengurusan Islam sekarang jika hendak dibandingkan dengan Sistem Pengurusan Konvensional seperti Barat dan Jepun amat jauh berbeza dari banyak aspek terutama dalam aspek teori dan amalannya. Sistem Pengurusan Konvensional bukan sahaja menjadi dasar dan amalan negara-negara maju bahkan menjadi tunjang kepada sistem pengurusan di negara-negara mundur dan membangun yang kebanyakannya terdiri daripada negara-negara Islam.

 

Sistem Pengurusan Islam merupakan suatu sistem pengurusan yang beasaskan tauhid iaitu satu falsafah yang lengkap berhubung dengan manusia dan kehidupannya yang diwahyukan oleh Allah Taala. Secara automatisnya dapat dikatakan bahawa sistem Pengurusan Islam jika hendak dibandingkan dengan sistem-sistem pengurusan yang lain nyata sekali jauh lebih sempurna kerana ianya bersifat lengkap dan melengkapi (syumul) yang mencakupi aspek jasmani, rohani, dan akal. Berbeza dengan sistem  pengurusan konvensional yang lebih menekankan aspek pengurusan yang berteraskan kepada material semata-mata dengan mengabaikan aspek agama, etika dan nilai, serta pembangunan insan.

 

Namun begitu, secara teorinya Sistem Pengurusan Islam memanglah merupakan satu sistem yang sempurna dan lengkap tetapi ianya tidak diyakini untuk menjadi dasar dan amalan dalam sesebuah organisasi di dunia sekarang sama ada organisasi itu adalah kerajaan, pihak swasta, syarikat, persatuan dan sebagainya. Sistem pengurusan Islam didakwa tidak praktikal untuk dilaksanakan. Mungkin kedapatan sesetengah organisasi yang mengamalkan sistem pengurusan tetapi hanya sedikit sahaja dan kalau ada pun secara tidak menyeluruh.

 

Ramai yang tidak sedar sistem ini sebenarnya telah pun dibangunkan sejak zaman Rasulullah lagi dan mengalami beberapa reformasi yang bersesuaian dengan suasana, zaman dan tempat seperti pada zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin Kedua Sayyidina Umar al-Khattab sehingga sistem ini mencapai kegemilangannya pada zaman Khilafiah Uthmaniyyah di Turki dimana sebahagian besar dunia di bawah takluknya menggunakan sistem ini juga. Sistem pengurusan Islam akhirnya sudah tidak lagi dipandang sejak kejatuhan khilafah ini.

 

Oleh itu, satu anjakan paradigma amat dialu-alukan supaya Sistem Pengurusan Islam sekali lagi mendapat tempat dalam sistem pengurusan alaf baru yang kian menjelang.  Namun begitu di sana banyak masalah dan kekangan kepada sistem ini untuk menuju ke arah kemajuan sistem pengurusan yang canggih dan berdaya maju seiring dengan kemajuan sistem pengurusan konvensional.

 

Dunia sekarang sedang menuju ke arah era alaf baru yang pastinya menuntut kepada beberapa perubahan dari semua aspek. Kehidupan sekarang dan akan datang amat memerlukan kepada satu paradigma yang baru dalam semua bidang termasuklah Sistem Pengurusan Islam untuk bersaing dengan sistem pengurusan konvensional. Untuk menuju ke arah satu sistem pengurusan yang canggih dan berdaya maju sudah tentulah ia akan mengalami beberapa masalah dan kekangan sama ada dalaman dan luaran.

 

 

MASALAH-MASALAH DAN KEKANGAN KEPADA SISTEM PENGURUSAN ISLAM

 

Seringkali kedengaran persoalan bahawa mengapa negara-negara Islam telah gagal merangka dan melaksana dasar-dasar pengurusan yang menurut Islam yang sebenar dan starategi-strateginya. Persoalan ini amat sukar dijawab dengan tepat kerana banyak-banyak faktor yang menyumbang ke arahnya. M Umer Chapra berpendapat beberapa perkara boleh dikemukakan  untuk menjelaskan persoalan tersebut iaitu faktor sejarah, politik, ekonomi dan sosiologi dengan menambah bahawa faktor politik adalah yang terpenting.[1]  Tetapi penulis merasakan bahawa banyak lagi faktor-faktor lain seperti sikap, pengurusan, sosio-budaya, kepercayaan, persekitaran dan sebagainya yang mana setiap faktor ini saling berkait antara satu sama lain yang membawa kepada permasalahan ini disamping faktor luaran dan dalaman.

 

Sejarah Kemilangan Dan Kejatuhan Islam

Islam pernah menggemparkan dunia pada zaman Rasulullah SAW dan khulafa’ ar-Rasyidin, apabila telah berjaya membangkitkan Islam sebagai kuasa dunia yang bukan sahaja berjaya menenggelamkan kuasa-kuasa besar seperti Rom dan Parsi, malah keluasan wilayah Islam tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kuasa sejak dahulu hingga ke hari ini. umat Islam hanya mengambil masa selama 80 tahun untuk menguasai tiga buah benua terbesar iaitu Afrika, Eropah dan Asia.[2]

 

Akhirnya kekuasaan Islam ini lenyap berikutan penjajahan negara-negara Barat terhadap negara-negara Islam termasuklah kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924. Berikutan dengan inilah maka kuasa politik diambil alih oleh barat dan menghapuskan sistem-sistem yang ada termasuklah Sistem Pengurusan Islam.

Walaupun negara-negara Islam telah mencapai kemerdekaan menjelang abad ke-15H, atau abad ke-20 ini, tetapi kebanyakan negara-negara Islam masih lagi terjajah dalam banyak hal khususnya dari aspek pemikiran. Sistem pemerintahan negara-negara ini masih lagi terjajah kerana mereka menjalankan sistem pemerintahan yang diasaskan oleh penjajah barat.

 

Sikap, Keyakinan dan Sosio-Budaya Masyarakat

 

Berikutan dengan itu, maka pemikiran yang sudah lama ternanam inilah sedikit sebanyak mempengaruhi  sikap dan keyakinan masyarakat terhadap sistem pengurusan Islam. Sikap dan keyakinan mereka lebih menjurus ke arah pemikiran barat dan Jepun dalam kebanyakan pengamalan sistem pengurusan mereka di sektor kerajaan dan juga korporat malah berpendapat bahawa sistem pengurusan hanya akan berkesan dengan menggunakan pengurusan barat dan Jepun sahaja. Sikap golongan ini jelas menunjukkan kepada kita tentang betapa fanatiknya terhadap kedua-dua konsep pengurusan ini.

 

Terdapat juga penentangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan yang tidak ingin melihat Islam dijadikan sebagai asas pembentukan masyarakat bermoral dan berakhlak.[3] Penentangan ini bukan sahaja berlaku di peringkat bawahan, malah melibatkan organisasi tertinggi dalam sesebuah negara. Pelabagai cara yang dilakukan oleh pihak ini antara menyebarkan dakyah bahawa kononnya jika pengurusan Islam diamalkan maka negara atau sesebuah organisasi tidak dapat mencapai pencapaian yang membanggakan. Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan membandingkan negara-negara Islam dan negara maju. Mereka menambah lagi dengan berkata bahawa negara akan menjadi mundur kerana mengikut teori dan falsafah yang dilahirkan pada zaman Rasulullah dengan menganggap bahawa masa telah berubah dan memilih sistem pengurusan barat dan Jepun sebagai alternatif.

 

Masyarakat moden juga sekarang disogok dengan idea-idea pemikiran yang mengatakan bahawa kebanyakan negara-negara Islam sekarang ini adalah mundur berbanding negara barat dan Jepun. Disamping itu juga Islam juga seringkali dikaitkan dengan kemunduran, keganasan, kekejaman, kemiskinan dan Islam langsung tidak dilihat dari aspek yang baik walaupun pada teorinya ianya berteraskan falsafah tauhid. Para pengurus juga masih belum dapat mengenal pasti relevansi model pengurusan Islam di samping reaksi mereka yang melihat bahawa sistem Pengurusan Islam ini hanya ada dalam sejarah sekaligus menafikan peranannya dalam zaman moden.

 

Terdapat juga dikalangan masyarakat yang tidak dapat membezakan antara persoalan ranting dengan pokok yang mana sistem pengurusan Islam merupakan perintah yang diturunkan oleh Allah dan bukan semata-mata sembahyang, zakat, menunaikan haji sahaja. Mereka ini kurang ilmu pengetahuan dan cetek pemikiran mereka dan tidak sedar bahawa Islam adalah sebuah agama yang syumul dan meliputi semua bidang. Ini adalah disebabkan keadaan sosio-budaya mereka yang kurang membaca dan membuat kajian terhadap perkembangan sesuatu bidang. Berbeza dengan negara-negara maju yang lebih mengutamakan budaya membaca, membuat kajian ilmiah, seminar-seminar akademik dan sebagainya seperti Jepun dan German. Budaya ini kurang diterapkan di negara-negara mundur yang kebanyakannya negara Islam. Ini akan melahirkan masyarakat yang tandus dari segi keilmuan dan kecermelangan akademik termasuklah dalam persoalan akidah.

 

Kejayaan proses islamisasi pentadbiran awam dan sektor korporat sebenarnya amat bergantung kepada sejauh mana seseorang individu Islam di semua peringkat itu memahami ajaran Islam secara sepenuhnya. Kejahilan masyarakat dalam ilmu keislaman hanaya akan membantutkan proses Islamisasi sistem pengurusan Islam.

 

Politik Dan Polisi Kerajaan

Menurut Hassan al-Banna bahawa kerajaan adalah jantung reformasi sosio-ekonomi negara. Jika sesebuah kerajaan rosak maka rosaklah sosio-ekonomi negara tersebut begitulah sebaliknya.[4] Kenyataan ini jelas menunjukan bahawa kerajaan atau faktor politik juga memainkan peranan dalam menimbulkan masalah kepada kemajuan sistem pengurusan Islam malah dikatakah sebagai faktor utama dan terpenting oleh Dr M Umer Chapra.

 

Dalam sejarah Islam, institusi Islam yang mula-mula terjejas ialah institusi khilafah, yang merupakan intitusi yang mencerminkan prinsip-prinsip poltik dalam bentuk yang ideal.[5] Apabila intitusi ini telah runtuh maka dengan sendirinya ianya mempengaruhi sistem politik sesebuah negara yang diaplikasikan dalam polisi-polisi kerajaan. Apabila dasar sesebuah negara telah condong ke arah sekularisme maka setiap dasar dan polisi kerajaan juga begitu. Munculnya sistem pengurusan yang berbentuk sekularisme ialah pada pertengahan kurun ke sembilan belas,[6] yang mana pada masa ini masyarakat telah berubah daripada pertanian kepada perindustrian dan ianya diasaskan di Eropah  akibat perkembangan revolusi industri.

Pada keseluruhannya, sistem pemerintahan negara-negara Islam kini terbahagi kepada empat sistem:[7]

1.      Sistem beraja sekular yang meniru sistem pemerintahan Barat dengan mengenepikan Majlis Syura.

2.      Sistem sosialis sekular, iaitu negara yang terpengaruh dengan pemerintahan sosialis barat.

3.      Sistem demokrasi sekular, iaitu pemerintahan yang meniru kerajaaan demokrasi Barat dan membenarkan perkembangan Islam dalam pengertian dan konsep yang sempit.

4.      Pemerintahan Islam, iaitu negara-negara yang cuba menegakkan sistem pemerintahan Islam yang berasaskan syura.

 

Dari segi pengkelasan tersebut, Malaysia mempunyai ciri-ciri yang kedua iaitu mengamalkan sistem demokrasi sekular, iaitu pemerintahan yang meniru kerajaaan demokrasi Barat dan membenarkan perkembangan Islam dalam pengertian dan konsep yang sempit. Yang menjadi mangsa dalam sistem ini ialah Sistem Pengurusan Islam sendiri.

 

Di Malaysia, pengaruh pengurusan Barat dan Jepun bertambah kuat lagi apabila kerajaan di bawah pimpinan Datuk seri Dr Mahathir Mohamad mencetuskan Dasar Pandang ke Timur dan melaksanakan konsep kualiti dan produktiviti dalam perkhidmatan awam.[8] Polisi dan dasar politik sebegini mempengaruhi secara langsung ke atas sistem pengurusan Islam dan membawa banyak masalah kepada perkembangan sistem ini sendiri. Ia jelas dipinggirkan oleh kerajaan yang akan membantutkan sistem ini untuk diamalkan oleh badan-badan kerajaan mahupun swasta.

Dari segi sejarahnya, memang sistem pentadbiran awam di Malaysia lebih banyak di pengaruhi oleh konsep pentadbiran yang berasaskan kepada sistem kolonial Inggeris. Ia dipengaruhi oleh dua unsur utama. Pertama, oleh kerana ia merupakan birokrasi warisan penjajah, maka sistem ini agak berbau keinggerisan dari segi struktur dan cara bekerja dalam sesebuah organisasi. Faktor kedua pula ialah pengaruh dari Amerika Syarikat yang bermula dengan tertubuhnya Development Administration Unit di jabatan Perdana Menteri pada tahun 1966, dan kemudiannya penubuhan INTAN pada tahun 1972.  

 

Jika sesebuah kerajaan Islam mengamalkan dasar dan politik sekular maka program-program Islam seperti sistem pengurusan Islam untuk mencapai maqasid akan terus menjadi perhiasan dalam arena politik negara-negara Islam.[9] Ini kerana sistem pengurusan Islam hanya dapat dijalankan melalui polisi kerajaan dan kerajaan akan menterjemahkan polisi tersebut dalam perlembagaan negara seterusnya dikuatkuasakan. Ini amat penting untuk proses pengislaman semula pengurusan dan penggubahan gelagat individu, institusi dan kerajaan menurut strategi Islam. Amat malang sekali, kebanyakan kerajaan Islam selama ini mengunakan Islam hanya sebagi slogan tanpa menyedari sumbangan positifnya kepada kemajuan masyarakat dan ekonomi.[10]

 

Faktor kedua dalam yang berkait rapat dengan politik ini ialah kebanyakan negara-negara Islam sekarang juga wujud ketidakseimbangan, ketaksamaan dan ketegangan politik[11] yang juga boleh membawa kepada masalah kepada kemajuan sistem pengurusan Islam itu sendiri. Pengamalan terhadap sistem pengurusan Islam amat memerlukan kepada keadaan politik yang stabil, keamanan yang terjamin dan bebas dari segala bentuk pergolakan, peperangan, ketaksamaan dan sebagainya.

 

Kurangnya Kajian Dan Kepakaran Dan Masalah Sistem Pengurusan Islam Itu Sendiri

Memang tidak dinafikan sama sekali bahawa dari sudut praktikalnya, sistem pengurusan Islam sendiri memang banyak masalah berbanding dengan sistem pengurusan konvensional Barat dan Jepun. Dalam memperkatakan tentang kekuatan dan keunggulan sistem pengurusan yang sedia ada, kita harus sedar dan berfikiran secara objektif dan mengakui bahawa masih terdapat beberapa kelemahan dari segi penggarapan dan pengkajian pengurusan islam sebagai satu disiplin ilmu yang saintifik jika hendak dibandingkan dengan teori-teori dari barat.

 

Banyak sekali teori pengurusan barat yang begitu popular dan menjadi falsafah para pengurus dan pentadbir dunia sekarang. Contohnya terdapat dua orang pelopor yang tidak asing dalam bidang pengurusan iaitu, Robert Owen dan Charles Babbage.[12] Federick Winston Taylor pula dikenali sebagai bapa pengurusan saintifik yang menulis Principles of Scientific Management pada tahun 1911 lagi . Begitu juga dengan tokoh-tokoh seperti Frank Gilbreth, Lilian Gilbreth dan Moris Cooke yang terkenal dalam bidang pengurusan.[13]

 

Walaupun terdapat tulisan beberapa tokoh dan ulama’  yang membuat kajian dan penulisan dalam bidang pengurusan Islam namun jumlah mereka hanya sedikit yang bersifat kontemporari. Tulisan-tulisan seperti al-Usul oleh Abu Ubaid, al-Ahkam As-Sultaniyah oleh Mawardi, dan bebarapa tulisan oleh ibn khaldun dikatakan bersifat tradisional dan tidak komprehensif untuk diamalkan dalam sistem pengurusan moden. Namun begitu kebolehan ulama’ silam ini tidak boleh diperkecilkan kerana contoh-contoh tulisan mereka ini juga turut menjadi rujukan para pengkaji barat seperti tulisan al-Mukaddimah oleh ibn Khaldun dan juga beberapa tulisan al-Ghazali.[14] Tetapi banyak tidak sumber rujukan daripada mereka. 

 

Pada zaman moden ini pula, jiikalau dilihat banyak sekali terbitan berbentuk buku-buku dan artikel ilmiah yang menonjolkan tentang pengurusan Barat dan Jepun  berbanding Islam. Contohnya terdapat beberapa buah buku seperti In Search of Excellence: Lesson From America’s Best Run Companies (1982), Thriving on Chaos (1989), Reengenieering the Corpotation dan The One-Minute Manager (1982) yang telah menjadi jualan terbaik dan berupaya mencorak pemikiran pengurusan pada dekad 1980-an dan 1990-an ini.[15]

 

Sistem pengurusan Islam telah wujud pada zaman Rasulullah lagi seiring lagi dengan perkembangan Islam di Jazirah Arab, iaitu lebih awal berbanding pengurusan Barat yang lahir pada zaman Revolusi Perindustrian dan al-Quran telah pun menerangkan tentang pengurusan Islam ini dan tidak terperinci. Dr Abdul Rahman Taj menerangkan, “Tidaklah bermakna bahawa al-Quran itu menerangkan dengan terperinci segala peristiwa dan perkara yang berlaku kepada manusia dari segi hukum-hakamnya tetapi menggariskan kaedah-kaedah dan prinsip secara umum yang boleh ditafsirkan mengikut masa, tempat dan suasana.”[16] Yang menjadi masalahnya bahawa kurangnya ulama’ dan para pemikir Islam seperti Dr Muhammad Al-Bureay untuk menterjemahkan sistem pengurusan yang sebenar ke dalam bentuk yang lebih praktikal.

Walaupun falasafah Sistem Pengurusan Islam telah lama digariskan oleh Allah dan RasulNya dalam al-Quran dan as-Sunnah, namun dari segi kematangan sistem ini sendiri ianya masih diperingkat awal jauh ketinggalan dengan sistem pengurusan Jepun dan Barat. Sistem pengurusan Islam dalah tidak matang sebenarnyai dalam proses pengadunan pengurusan Islam itu sendiri dengan sistem pengurusan dari Barat dan Jepun yang mana ianya membawa masalah kepada sistem pengursan Islam itu sendiri. Proses pengadunan ini adalah tanpa mengabaikan sistem nilai dan pandangan hidup yang merupakan sesuatu yang asasi dalam membentuk identiti dan akal budi sesebuah bangsa itu. dengan membawa maksud tidak melakukan pengabaian terhadap falsafah asal sistem pengurusan Islam.

 

Tidak semestinya kita mesti menolak kesemua idea yang datang dari luar kerana sikap ini nyata amat merugikan pengurusan Islam dan membantutkan perkembangannya ke arah yang lebih canggih dan mempunyai daya saing. Adalah mustahak untuk kita menapis mana yang baik dan buruk yang sesuai dengan suasana setempat falsafah sistem pengurusan Islam itu sendiri. Kemampuan kita untuk melakukan semua ini akan menentukan sejauh manakah kita akan berjaya untuk mencapai kemajuan sendiri dengan acuan kita sendiri menuju alaf baru. [17]

 

Contoh yang menarik tentang proses pengadunan ini daripada tokoh korporat asing yang boleh kita pelajari iatu John Rehfeld, Presiden Seiko Instrunment USA dan Pengurus Besar Toshiba Amerika. Beliau telah berjaya menggabungkan yang terbaik daripad pengurusan Barat dan Jepun untuk bersaing diperingkat global. Beliau berpendapat bahawa,” pengurus global hendaklah menjadi seorang ahli kimia yang mempunyai kemahiran untuk mengadunkan gaya pengurusan daripada sumber Barat dan Timur dan mampu menyesuaikan dengan gelanggang operasi setempat.[18]   

 

Proses penyaringan sistem pengurusan ini hendaklah dilakukan dengan teliti dan bijaksana selaras dengan kehendak syarak dan juga tidak bertentangan dengan nilai-menilai setampat agar menjadikan sistem pengurusan itu menjadi lebih matang.

Secara ringkasnya dalan konteks ini Dr Muhamamad Al-Bureay (1990) telah memberikan garis panduan lebih khusus yang dapat dipadankan dengan saranan yang berikut.[19]

a.      Kita hendaklah memahami teori dan praktik proses Islamisasi kerana ianya penting dalam bidang pentadbiran.

b.      Kita hendaklah mendapatkan prinsip-prinsip Islam mengenai pentadbiran dan kerajaan dengan kembali secara spirit kepada sejarah dan sirah Rasulullah dan Sahabat.

c.      Kita hendaklah merangka secara terperinci terperinci metologi untuk melaksanakan pentadbiran menurut Islam tersebut.

d.      Untuk membentuk model Islam yang baru ini, kita hendaklah emnagmbil sumber-sumber dari Islam, tetapi disesuaikan dengan pemikiran moden yang sedia ada.

 

Abad Yang Ke-21 Yang Mencabar

Untuk menuju ke arah perkembangan dan kemajuan, sistem pengurusan Islam sekarang terpaksa mendepani abad yang ke 21 yang amat mencabar yang sudah tentunya menjadi masalah kepada sistem pengurusan Islam itu sendiri. Abad ke 21 yang akan datang bakal menyaksikan pelabagai perkembangan baru yang rencam dan menakjubkan sama ada dari segi perubahan sains dan teknologi dan juga perubahan ekonomi, geopolitik dan sosial. Negara-negara kecil diingatkan supaya harus bersiap sedia manghadapi menghadapi serta menangani menghadapi serta menangani cabaran-cabaran ini sekiranya ingin bersaing dengan negara-negara maju yang lain.[20]

 

Dunia hari ini sedang menuju ke arah perkampungan global di mana persaingan akan menjadi bertambah sengit. Kita tidak mampu hidup terasing daripada dunia luar. Oleh itu para pengurus hari ini perlu bersedia menghadapi cabaran persaingan dalam pengurusan mereka. Struktur organisasi dan cara bekerja akan melalui satu perubahan yang radikal. Para pengurus harus mampu menangani anjakan paradigma yang serba tidak menentu. Kadang kala dalam pengurusan kita terpaksa membuat keputusan dengan cepat dan melaksanakan tindakan tanpa maklumat yang tepat dan terperinci.

 

Di zaman ledakan teknologi maklumat hari ini, ilmu pengetahuan akan mejadi satu pengetahuan merupakan satu faktor yang penting dalam pengurusan yang mana ianya telah diabaikan dalam sistem pengurusan lampau. Dengan segala kemudahan telekomunikasi segala inovasi teknologi di luar negara akan menjadi kenyataan dengan sekelip mata. Para pengurus harus berwaspada dengan perkembangan teknologi terkini supaya tidak ketinggalan. Namun begitu setiap maklumat tidak semestinya tepat untuk digunakan dalam setiap keadaan dan ketika dan segala keputusan harus dibuat dan dinilai dengan teliti dengan mengambil kira banyak aspek.

 

Di Malaysia sekarang kita juga akan dihadapakan dengan pelbagai cabaran baru dan serpihan-serpihan  daripada cabaran atau masalah yang lama yang masih belum selesai. Sebagai contoh perkara yang masih belum selesai ialah seperti perpaduan kaum, intergrasi nasional, pembangunan seimbang, masalah alam sekitar, masalah kemiskinan isu kaum minoriti dan sebagainya yang menjadi isu pokok yang masih belum selesai sepenuhnya.

Wan Liz Ozman Wan Omar (1996)[21] telah menggariskan beberapa cabaran strategik utama yang dirasakan sesuai oleh penulis dalam pelaksanaan pengurusan Islam menjelang abad ke 21 akan datang.

a.      Menangani ilmu pengurusan Barat.

b.      Menangani kemunculan abad Asia.

c.      Mengahadpi persaingan ekonomi serantau.

d.      Mengurus ledakan informasi dan kecanggihan teknologi.

e.      Cabaran semula kebangkitan Islam

f.        Menentang gejala korupsi.

g.      Menangani isu-isu sosiobudaya.

 

KESIMPULAN

Penulis dapat menyimpulkan di sini bahawa memang terdapat banyak masalah untuk menuju ke arah pembangunan dan kejayaan Sistem Pengurusan Islam. Dan masalah ini sebenarnya amat berkait antara satu sama lain


 

[1] M Umer Chapra (1996) Islam Dan Pembangunan Thinkers Library Sdn Bhd ms 171.

[2] Mustafa Haji Daud (1994)  Pengantar Politik Islam Dewan Bahasa dan Pusataka ms vii.

[3] Wan Liz Ozman Wan Omar (1996) Pengurusan Islam Abad ke-21: Revolusi Pengurusan Untuk Keunggulan Sektor Awam Dan Korporat Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

[4] Op-Chit M Umer Chapra (1996) ms172.

[5] Ibid

[6] Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991) Pengurusan Dalam Islam Dewan Bahasa Dan Pustaka  ms 36.

[7] Op-Chit Mustafa Haji Daud (1994) ms viii.

[8] Wan Liz Ozman Wan Omar (1996) ms 93.

[9] Op-Chit M Umer Chapra (1996) ms 172.

[10] Ibid ms 189

[11] Ibid ms 185

[12] Jaafar Muhammad (1996)  Asas Pengurusan Penerbitan Fajar Bakti Sdn Bhd ms 3.

[13] Ibid ms 4 & 6.

[14] Datin Sohair Abdel Moneim Sery (1990)  Konsep Pengurusan Pentadbiran Menurut Ajaran Islam Penerbitan Pustara Antara ms 13.

[15] Op-chit Wan Liz Ozman Wan Omar ms 93.

[16] Ahmad Ibrahim Abu Sin (1991) ms 41.

[17] Op-chit Wan Liz Ozman Wan Omar ms 112.

[18] Ibid ms 114.

[19] Ibid ms 112

[20] Ibid ms 163

[21] Ibid ms 166