Make your own free website on Tripod.com

 

Google

PENGURUSAN ALAM SEKITAR

TRAGEDI KERUNTUHAN HIGHLAND TOWERS

Oleh : Khairol Azli Mohamad dan Rakan-rakan

 

Muqaddimah

 

Tragedi Highland Towers setinggi 12 tingkat di Hulu Kelang adalah antara tragedi sadis yang meragut banyak nyawa dan mengakibatkan kerugian harga benda yang tidak ternilai. Ia adalah deretan tragedi yang berlaku pada tahun yang sama (1994) dan menduduki tempat ketiga selepas tragedi Puchong dan Damansara. Ia juga mencatatkan sejarah dalam dalam dalam industri pembinaan di Malaysia kerana inilah kejadian pertama yang berlaku  membabitkan bangunan tumbang di negarta ini dan mungkin juga yang pertama di dunia. Peristiwa ini harus direnung oleh semua pihak agar kejadian seumpamanya mampu dihindari.

 

 

Kronologi

 

Sebelum 1964

       Pemaju mengemukakan permohonan untuk membina kondominium.

 

1964                                 

       Jabatan Perancang Bandar dan Kampung (JPBK) Negeri Selangor mula membuat penilaian.

       Pejabat Daerah Kuala Lumpur meluluskan permohonan cadangan projek tersebut.

 

1974                                 

       Pembinaan bangunan dimulakan oleh Konsortium Jurubina Perunding (KJP) untuk syarikat High Land Properties Sdn Bhd.

 

1978                           

       Blok 1 Kondominium telah disiapkan, dan diberi Certificate of Fitness    (CF) olleh Majlis Daerah Gombak (MDG) dan mula diduduki penghuni.

 

 

 

1981

       Bangunan Blok 2 telah disiapkan dan diberi CF oleh Majlis Daerah Gombak dan telah mula diduduki penghuni

 

1986                                 

       Bangunan Blok 3 telah disiapkan dan diberi CF oleh MDG.

       Ia telah mula diduduki penghuni.

 

1 Julai 1992

       Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah ditubuhkan dan bertanggungjawab secara langsung terhadap projek tersebut.

 

1993                                 

       MPAJ telah memberikan CF kepada pembinaan tempat letak kereta di tingkat bawah kondominium.

 

November 1993        

       Keretakan serius atas jalanraya sekitar kondominium telah dikesan oleh penghuni.

 

11 Disember 1993    

       Pada pukul 1.35 tengahari Blok 1 kondominium tumbang.

       Seorang mayat ditemui  dan 3 orang mangsa berjaya diselamatkan

 

21 Disember 1993    

       Sehingga tarikh ini 48 mayat telah ditemui.

 

1994               

       Laporan lengkap berhubung dengan punca-punca tragedi telah diterbitkan.

 

 

 

 

 

 

Punca Kejadian

 

Secara umumnya dapatlah dikatakan bahawa punca-punca tragedi adalah seperti berikut:

 

1.      Pembinaan bangunan di pinggir kawasan tanah tinggi sememangya tidak sesuai khususnya di kawasan iklim Khatulistiwa dan Tropika yang mempunyai jumlah hujan yang tinggi.

 

2.      Pembinaan kondominium di lereng bukit juga adalah bercanggah dengan Akta Pemuliharaan Tanah 1960. Akta itu melarang pembangunan dilakukan di lereng bukit dengan kecerunan lebih  daripada 18 kerana sebab-sebab yang berkaitan dengan alam sekitar.

 

3.      Ketidakselarasan akta di antara Akta Pemuliharaan Tanah dengan Akta Mutu Alam Sekitar 1974.

 

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Penyiasatan Teknikal punca utama berlakunya kejadian ini adalah kejadian gelinciran tanah yang berlaku secara berlebih-lebihan terhadap cerun bukit di bahagian belakang bangunan kondominium tersebut. Namun, di sana terdapat punca-punca lain yang menyebabkan berlakunya gelinciran yang membawa kepada tumbangnya bangunan Highland Towers, iaitu :

 

1.      Banyak air telah meresap masuk ke bahagian bukit sehingga menyebabkan banjir lumpur sejak pembangunan dilaksanakan di Bukit Antarabangsa yang terletak di sebelah bukit berhampiran dengan kondominium tersebut. Ini ekoran daripada pembersihan (penggondolan) tumbuh-tumbuhan di kawasan yang dibangunkan yang terletak 150 meter di atas kondominium Highland Towers. Ia dibangunkan oleh Malaysia Borneo Finance (MBF) dan Arab-Malaysian Finance Bhd. (AMFB). Kejadian banjir lumpur ini telah menyebabkan jalan raya sekitar komdominium tersebut retak.

 

2.      Aliran air permukaan yang berlaku secara berlebihan ini telah menyebabkan kejadian hakisan tanah di permukaan cerun bukit tersebut. Fenomena ini mengakibatkan struktur tanah permukaan cerun menjadi tidak kukuh sehingga berlakunya gelinciran tanah atau tanah runtuh.

 

3.      Runtuhan tembok di bahagian depan dan belakang bangunan tersebut menyebabkan gelinciran berlaku dengan lebih mudah kerana tiada sokongan dan halangan daripada tembok berkenaan. Gelinciran yang berlaku seterusnya mengakibatkan sokongan bahagian hadapan bangunan menjadi semakin rapuh sedangkan bebanan di bahagian belakang bangunan semakin bertambah dan menyebabkan keadaann yang tidak stabil bahagian tapak  kondiominium. Ia seterusnya mewujudkan tekanan yang amat tinggi terhadap cerucuk bangunan khususnya cerucuk di bahagian hadapan. Apabila cerucuk ini patah, bangunan kondomunium mula berayun disebabkan pusat graviti bangunan mula berubah lalu ia beransur-ansur tumbang menyungkur bumi.

 

Tindakan Ekoran Tragedi

 

1.      Sebuah Jawatankuasa Kabinet telah dibentuk untuk menangani semua masalah yang berkaitan dengan tragedi tersebut. Ia telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan dianggotai oleh Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan, Kementerian Penerangan, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dan Kementerian Kerja Raya. Jawatankuasa ini berpusat di Pejabat Majlis Keselamatan Negara.

 

2.      Kerajaan Negeri Selangor telah menubuhkan satu badan penyiasat khas yang dikendali MPAJ untuk mengenalpasti punca kejadian tersebut. Laporan lengkap berhubung dengan punca-punca tragedi telah disiapkan dan diterbitkan pada tahun 1994.

 

3.      Kabinet telah memutuskan untuk membekukan serta merta semua kelulusan projek bangunan tinggi di kawasan bukit sehingga satu dasar baru diluluskan.

 

4.      Kabinet telah membuat keputusan supaya ditangguhkan projek pembangunan bangunan tinggi yang belum dibina ditangguhkan sehingga satu keputusan dibuat. Manakala projek bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan hanya boleh diteruskan selepas pemaju mengemukakan pengesahan kestabilan dan keselamatan daripada perunding bertauliah lain di dalam tempoh sebulan.

 

5.      Kabinet juga telah mengarahkan supaya semua bangunan tinggi yang melebihi 5 tingkat di kawasan bukit mendapatkan pengesahan daripada perunding bertauliah di dalam tempoh 6 bulan bagi membuktikan kestabilan dan keselamatan  bangunan tesebut.

 

6.      Ekoran daripada keputusan Kabinet tersebut, kerajaan-kerajaan negeri telah mengambil tindakan segera untuk membekukan semua pembinaan bangunan tinggi di kawasan bukit.

 

7.      Hasilnya Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa kerajaan Persekutuan akan menggubal satu dasar berhubung dengan pembangunan di kawasan tanah tinggi.

 

8.      Di samping itu EIA juga akan diwajibkan ke atas sebarang projek pembangunan di kawasan tanah tinggi sebelum keputusan diberikan.

 

9.      Beberapa akta yang telah sedia ada berkaitan dengan projek pembangunan di kawasan tanah tinggi dikatakan akan dipinda dan dikuatkuasakan demi memastikan tragedi seumpama ini tidak akan berulang.

 

Kesan Dan Implikasi

 

1.      Kehilangan nyawa seramai 49 orang yang telah ditemui dan dikenalpasti.

2.      Menyebabkan kerugian harta benda yang bernilai berjuta-juta ringgir.

3.      Pengkajian semula akta-akta yang bertkaitan dengan alam sekitart oleh pihak berkuasa.

4.      Menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar kawasan yang terbabit secara serius.

5.      Kemungkinan sambutan orang ramai terhadap perumahan di lereng bukit akan menurun. Ini menimbulkan kebimbangan di kalangan pemaju.

 

 

 

 

Cadangan Dan Komentar

 

1.      Undang-undang dan peraturan yang digubal sepatutnya lebih sesuai dengan perubahan zaman. Contohnya Akta Pemuliharaan Tanah 1960, Akta Mutu Alam Sekitar 1974 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 masih lagi dipakai dan sepatutnya dipinda.

 

2.      Pihak-pihak yang terbabit sepatutnya lebih peka dalam menyelaraskan dan memperbetulkan perkara yang silap. Contohnya sebelum memberi sebarang kelulusan pihak kerajaan harus memastikan pelan rekaan arkitek adalah stabil dan kualiti binaan kontraktok mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan. Badan yang bertanggunghjawab memberi kelulusan projek mestilah dianggotai oleh ortang yang benar-benar pakar, profesional dan tidak berkepentingan.

 

3.      Perlu diwujudkan pasukan Geo-Teknik yang berfungsi untuk mengkaji struktur fizikal tanah dan binaan sesebuah bangunan tinggi dari semasa ke semasa.

 

4.      Pasukan Elit Bencana Alam juga perlu dibentuk dan mereka harus dilengkapkan dengan kemahiran dan peralatan canggih yang cukup sebagai persediaan menghadapi segala kemungkinan.

 

5.      Pasukan Para-Medik Udara yang dilengkapi dengan peralatan canggih bantuan kecemasan juga perlu diwujudkan.

 

Penutup

 

Runtuhnya Highland Towers perlu di ambil iktibar oleh semua pihak. Ia bukan disebabkan oleh rendah penggunaan sains dan teknologi tetapi sikap manusia yang amat bergantung kepada sains dan teknologi yang melampau adalah sebab manusia menjadi lupa kepada peringatan pencipta yang mengatakan bahawa bukit dan gunung adalah pasak bumi. Ia juga  adalah manifestasi kegagalan manusia dalam menguruskan pembangunan yang selari dan harmoni dengan alam sekitar. Pembinaan bangunan tinggi di tempat yang tidak sepatutnya dan pengabaian tehadap peraturan yang digubal juga adalah disebabkan oleh nafsu rakus manusia mengejar keuntungan Walaupun ia hanya menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja, projek-projek ini tetap dilaksanakan. Pada kami ia juga sebenarnya menggambarkan kepada kita penghayatan Etika Alam Sekitar yang amat lemah di kalangan warga Malaysia dan perlu ditingkatkan. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing agar peristiwa ini tidak berulang.